SUKAN

Pasukan MLBB Malaysia Pertahan Gelaran Juara Dunia, Tewaskan Kemboja 3-0

08/12/2025 12:52 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia mempertahankan gelaran juara dunia selepas memenangi Kejohanan Dunia e-sukan IESF 2025 apabila menewaskan Kemboja 3-0 pada perlawanan akhir Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Quill City Mall di sini malam ini.

Pasukan Malaysia dibarisi Idreen Jamal (Momo), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan Ealtond Rayner (Lolealz).

Kemboja pula menampilkan pemain terdiri daripada Phengkong “Oppi” Chhuon, Chandavan “Detective” Nhem, Amey “Xing” Khuon, Dane “Wadu” Vann dan Virea “Boxi” Sok, namun gagal menandingi rentak, keserasian dan serangan agresif Malaysia sepanjang aksi berlangsung.

Kemenangan hari ini terus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sukan elektronik selepas menewaskan Filipina 2-0 pada perlawanan akhir edisi 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim antara yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan Malaysia membawa pulang wang kemenangan berjumlah USD32,500.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499913