JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Patahkan Cubaan Seludup Diesel Subsidi

09/12/2025 11:08 AM

BUKIT KAYU HITAM, 9 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi dengan menahan dua lelaki Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek berusia 30-an dan 40-an ditahan berasingan apabila pemeriksaan kenderaan mereka di Blok C kompleks itu menemukan  tangki tambahan dipenuhi diesel.

“Pada 4.49 petang, kita menahan seorang lelaki Thailand dan merampas 900 liter diesel dianggarkan bernilai RM2,772 selepas pemeriksaan Toyota Hilux dipandunya menemukan tangki tambahan berisi diesel.

"Turut dirampas ialah kenderaan bernilai RM40,000, menjadikan nilai rampasan keseluruhan RM42,772 bagi kes pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi kedua pada 7.45 malam, seorang lagi lelaki Thailand ditahan ketika cuba menyeludup 800 liter diesel dianggarkan bernilai RM2,464 menggunakan modus operandi sama.

Mohd Nasaruddin berkata, jumlah rampasan diesel bagi kedua-dua kes itu dianggarkan 1,700 liter, bernilai RM5,236, menjadikan jumlah rampasan minyak termasuk kenderaan RM105, 236.

“Kedua-dua kenderaan menggunakan modus operandi dengan mengubah suai tangki tambahan bagi menyeludup diesel subsidi ke Thailand bagi mengelak dikesan,” katanya.

Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500317