SUKAN

Sukan SEA: Danish Tidak Menghampakan, Sambar Gangsa 100m Lelaki

12/12/2025 11:14 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee membuktikan penampilan sulung pada Sukan SEA bukan sia-sia, apabila membawa pulang gangsa 100 meter (m) lelaki pada edisi 2025 di Stadium Supachalasai, di sini, hari ini.

Sensasi tuan rumah Puripol Boonson mendominasi acara riben biru itu menerusi catatan 10s mengatasi wakil Indonesia Lalu Muhammad Zohri dengan 10.25s manakala Danish merekodkan 10.26s untuk melengkapkan podium.

Danish mengakui seronok dapat berentap dengan jaguh Asia Tenggara Puripol, selain berjaya memperbaharui catatan peribadi 10.26s dilakukan sewaktu memenangi emas 100m Terbuka Malaysia 2025 di Perlis dengan 10.18s pada peringkat saringan, dua jam sebelum saingan akhir berlangsung.

Beliau berkata panduan daripada jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi sebelum pertandingan juga melonjakkan motivasinya untuk menampilkan larian bertenaga.

“Azeem beritahu lakukan yang terbaik dan berlari ikut rentak kita. Saya juga dapat nasihat dari ibu bapa dan rakan-rakan untuk Sukan SEA kali ini.

“Alhamdullilah saya juga dapat perbaiki catatan terbaik peribadi pada saringan tadi dan untuk final saya hanya berserah pada Allah SWT sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, ratu pecut Singapura Shanti Pereira mempertahankan pingat emas 100m wanita dengan catatan masa 11.36s, menafikan saingan dari pelari Thailand Khanonta Jirapat yang meraih perak (11.54s) dan Ha Thi Thu dari Vietnam pula membawa pulang gangsa (11.58s).

Kristina merekodkan 11.31s untuk menyambar emas mengatasi Shanti yang terpaksa berpuas hati menerusi pingat perak iaitu 11.36s  dan wakil tuan rumah Khanonta Jirapat meraih gangsa (11.54s).

Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli pula menamatkan cabaran di tangga ketujuh dengan 11.81s.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501578