JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Rugi RM310,000 Ditipu Sindiket Pelaburan Tidak Wujud

09/12/2025 03:47 PM

MUAR, 9 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan menanggung kerugian sebanyak RM310,000 selepas ditipu oleh sindiket penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata kes penipuan melibatkan mangsa berusia 47 tahun itu bermula apabila dia ternampak sebuah iklan pelaburan di media sosial pada September lepas.

Beliau berkata selepas melihat iklan yang menawarkan pulangan tinggi itu, mangsa mengisi maklumat peribadi dan kemudian dihubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek memperkenalkan sebuah aplikasi pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 10 hingga 30 peratus daripada modal yang dilaburkan dan telah membuat sebanyak 17 transaksi antara 10  Nov hingga 5 Dis lepas.

“Mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bergantung kepada wang simpanan sebagai sumber kewangan itu telah melihat pelaburannya berkembang kepada RM2.5 juta, namun mendapati ia satu penipuan apabila diminta membayar yuran tambahan berjumlah RM382,811.60 jika mahu mengeluarkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raiz berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang berdasarkan panggilan telefon yang meragukan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500453