KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menjenamakan semula Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan bagi melambangkan aspirasi pembangunan wakaf yang lebih luas dan inklusif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penjenamaan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 5 Sept lepas.
Beliau berkata walaupun prestasi kutipan wakaf amat memberangsangkan, PPZ-MAIWP menyedari identiti semasa sering mengelirukan masyarakat kerana nama Wakaf PPZ lebih sinonim dengan kutipan zakat semata-mata.
“Penjenamaan semula Wakaf Wilayah Persekutuan menjadi langkah strategik untuk memastikan pengurusan wakaf mudah dikenal, jelas fungsinya dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula Wakaf Wilayah Persekutuan dan penyerahan sumbangan wakaf tunai di sini hari ini.
Penjenamaan itu melibatkan penggunaan logo dan warna identiti baharu, pertukaran portal rasmi kepada www.wakafwilayah.com.my, penyeragaman platform media sosial serta pengukuhan saluran digital bagi memudahkan urusan pewakaf.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata sejak PPZ-MAIWP diberikan mandat mengutip wakaf tunai bermula Disember 2022, kutipan dan jumlah pewakaf terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Beliau berkata sebanyak RM7.909 juta wakaf tunai berjaya dikutip melibatkan 11,121 pewakaf bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Mohd Na’im berkata 11 projek wakaf telah mencapai sasaran kutipan, namun sehingga kini, masih terdapat 35 projek wakaf yang memerlukan dana wakaf dianggarkan berjumlah RM413 juta.
Pada majlis itu, 12 syarikat korporat turut menyerahkan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM657,508.31 kepada Wakaf Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA