JENAYAH & MAHKAMAH

Polis, Perhilitan Perak Tingkat Kawalan Sekitar Chemor Susulan Kelibat Harimau

09/12/2025 05:00 PM

TAPAH, 9 Dis (Bernama) -- Polis dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mempertingkatkan kawalan di sekitar Bukit Bangkong, Tanah Hitam, di Chemor susulan penemuan harimau di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata langkah itu bagi memastikan pihak yang tidak berkepentingan seperti pemburu haram memasuki kawasan sekitar.

"Kita akan memastikan rondaan akan terus dibuat dengan kerjasama Perhilitan untuk mastikan kawasan itu bebas daripada pihak yang tiada kepentingan atau keperluan di situ.

"Setakat ini, kawasan Bukit Bangkong dan persekitarannya masih lagi kita tutup daripada sebarang aktiviti riadah dan polis nasihatkan penduduk supaya berhati-hati, terutamanya di kawasan Chemor, Tanah Hitam dan Changkat Kinding. Kita bimbang harimau itu (berlegar-legar) sampai ke sana," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan IPD Tapah, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Supt Abdul Malik Hasim menggantikan Supt Johari Yahya yang bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

Sebelum ini, Noor Hisam dilaporkan berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang di Bukit Bangkong pada Jumaat lepas.

Noor Hisam berkata insiden itu dimaklumkan oleh seorang lelaki yang menjumpai dua ekor lembu miliknya mati dengan kesan gigitan, manakala beberapa ternakan lain tidak dapat dikesan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500509