AM

JAKOA Guna Laluan Udara Hantar Bantuan Kepada Orang Asli Pos Gob

09/12/2025 08:55 PM

GUA MUSANG, 9 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menggunakan jalan udara bagi menghantar bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman yang terjejas akibat terputus hubungan darat pada musim tengkujuh.

Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed berkata pihaknya telah berbincang dengan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mendapatkan khidmat helikopter bagi memastikan penghantaran dapat dilakukan.

Beliau berkata setakat ini Pos Gob adalah lokasi yang tidak dapat diakses melalui jalan darat selepas laluan ke kawasan itu rosak teruk akibat hujan berterusan.

“JAKOA Kelantan dan Terengganu sebelum ini menghantar bekalan makanan kepada 49 keluarga membabitkan 230 penduduk di lima kampung di Kampung Gawen menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Bagi kawasan pedalaman seperti Pos Gob, kami mungkin bekerjasama dengan Unit Udara JBPM untuk penghantaran udara menggunakan helikopter seperti yang dilakukan tahun lepas,” katanya selepas mengagihkan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Gawen hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata penduduk menerima 10 jenis barangan makanan asas termasuk beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula dan susu, mencukupi untuk kegunaan sepanjang musim tengkujuh.

“Kampung Gawen adalah lokasi pertama penghantaran bakul makanan di kawasan DUN Nenggiri. Bantuan turut disalurkan melalui jalan darat kepada penduduk kampung antaranya Kampung Kajang, Kampung Pinchong dan Kampung Chaler. Kami berharap bantuan ini dapat membantu penduduk menyediakan makanan ketika cuaca tidak menentu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500628