KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Wasco Greenergy Bhd berazam mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian biotenaga bersepadu khusus susulan peningkatan permintaan teknologi penyahkarbonan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Lee Yee Chong berkata syarikat berkenaan melihat momentum kukuh itu apabila pengilang beralih daripada bahan api fosil kepada penyelesaian haba dan tenaga yang lebih hijau, seiring penekanan yang meningkat terhadap pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami optimis untuk terlibat dalam segmen biotenaga ini. Dengan pasaran kini bergerak ke arah penyahkarbonan dan pematuhan rangka kerja ESG, kami melihat momentum pasaran ini sangat positif,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama di sini hari ini.
Lee berkata berbanding syarikat lain, pihaknya menawarkan rangkaian penyelesaian bersepadu sepenuhnya, merangkumi peralatan pemprosesan biojisim, dandang, sistem penjanaan tenaga dan turbin.
Beliau berkata antara 80 hingga 90 peratus daripada nilai perolehan kontrak Greenergy berjumlah RM249 juta setakat September terdiri daripada segmen tenaga boleh baharu, meliputi sistem dandang stim, projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), turbin stim serta perkhidmatan selepas jualan.
Menurut Lee pasaran syarikat seimbang antara Malaysia dan Indonesia, dengan tambahan pesanan dari Amerika Latin dan Afrika, didorong negara-negara yang mempunyai ladang kelapa sawit lebih besar seperti Colombia dan Ghana.
Beliau berkata perkembangan dasar di Indonesia dijangka turut mengukuhkan sektor biotenaga, sambil menyatakan bahawa usaha negara itu untuk melaksanakan campuran biobahan api berasaskan sawit 50 peratus (B50) akan meningkatkan lagi permintaan pasaran.
Sementara itu, ketika pasaran dibuka, saham Wasco Greenergy, yang membuat penampilan pertama di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini diniagakan pada 95 sen, diskaun lima sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1, dengan sebanyak 1.74 juta saham didagangkan.
Sementara itu, Lee berkata prestasi harga saham Wasco Greenergy pada hari pertama dagangan itu dipengaruhi faktor sementara.
“Prestasi harga saham hari ini adalah sentimen pasaran jangka pendek dan aktiviti pengambilan untung. Fokus kami kekal pada pelaksanaan berdisiplin dan prestasi jangka panjang yang mampan.
“Untuk fasa pertumbuhan seterusnya, kami akan terus meningkatkan penyelesaian stim kejuruteraan kami, mengukuhkan jejak serantau serta menyokong industri dalam meningkatkan kecekapan operasi serta pengurangan pelepasan,” katanya.
-- BERNAMA