AM

Manoharan Dilantik Pengerusi Tourism Malaysia

11/12/2025 03:42 PM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Datuk Manoharan Periasamy dilantik Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) berkuat kuasa 8 Dis lepas.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 5(1)(a), Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) bagi menggantikan Datuk Dr Yasmin Mahmood. 

“Manoharan dijangka memperkukuh hala tuju strategik Tourism Malaysia, khususnya dalam usaha memantapkan penyelarasan program dan aktiviti promosi pelancongan negara menjelang pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.

Manoharan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan sektor pelancongan dengan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia selain turut memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika).

Jawatan lain pernah disandang ialah Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran Asia Selatan apabila diberi tanggungjawab mengetuai operasi promosi pelancongan negara sebagai Pengarah Tourism Malaysia Mumbai dan Pengarah Tourism Malaysia New Delhi di India dari 2000 hingga awal 2016. 

Sementara itu, Manoharan menyatakan komitmen untuk memikul tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

"Saya amat menghargai kepercayaan diberikan melalui pelantikan ini. Amanah yang dipertanggungjawabkan adalah besar, khususnya dalam memastikan keberhasilan dan pelaksanaan TMM2026.

“Saya beriltizam untuk bekerjasama rapat dengan pengurusan serta seluruh warga Tourism Malaysia bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501337