GEORGE TOWN, 12 Dis (Bernama) -- Eastern & Oriental Bhd (E&O) hari ini merasmikan Jambatan Andaman Gurney, sekali gus membuka pintu masuk baharu ke Pulau Andaman dan mengukuhkan komitmen pemaju itu terhadap pembangunan berorientasikan kemampanan di koridor persisir utara Pulau Pinang.
Pengerusi Eksekutif E&O Datuk Seri Tee Eng Ho berkata jambatan lapan lorong yang direka sebagai mercu tanda itu dilengkapi laluan pejalan kaki selebar empat meter di kedua-dua sisi, mewujudkan sambungan yang lancar antara kawasan awam Gurney Bay dan Pulau Andaman.
Beliau berkata jambatan sepanjang 1.2 kilometer itu menyokong penggunaan rendah kenderaan dan kegiatan riadah di tepian air, sekali gus meningkatkan akses untuk penduduk serta pengunjung.
“Sebagai laluan masuk utama ke Pulau Andaman, Jambatan Andaman Gurney menyokong pembangunan induk E&O yang berlandaskan konsep bandar 15 minit, yang menghubungkan tempat kerja, pendidikan, hospitaliti dan rekreasi dalam masa singkat dengan berjalan kaki atau berbasikal.
“Perasmian jambatan ini akan memendekkan masa perjalanan secara ketara, mengurangkan tempoh dari 20 minit kepada kira-kira lima minit antara Pulau Andaman dan Gurney Drive,” katanya pada sidang media selepas merasmikan jambatan itu di sini hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan jambatan itu bersama Tee serta barisan pengurusan kanan E&O.
Sementara itu, Pengarah Urusan E&O Kok Tuck Cheong berkata ini merupakan jambatan kedua yang menghubungkan Pulau Andaman selepas jambatan yang pertama siap pada 2022.
Beliau menyatakan keyakinan terhadap perkembangan berterusan pembangunan Pulau Andaman, dengan pelancaran awal projek The Meg dan Arica, yang telah habis dijual dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komuniti kediaman di pulau berkenaan.
Momentum tersebut diteruskan dengan The Lume, kondominium berkonsep resort yang dikelilingi kehijauan serta kemudahan riadah.
“Seiring pembangunan Pulau Andaman yang terus berkembang, setiap presint pulau ini mengukuhkan lagi visi E&O untuk membangunkan sebuah bandar 15 minit dengan kediaman, tempat kerja, pendidikan, hospitaliti, runcit dan rekreasi yang saling bersepadu,” katanya.
Sementara itu, Chow menyifatkan pembangunan Pulau Andaman sebagai antara projek perbandaran paling bercita-cita tinggi di rantau ini, sambil menyatakan bahawa jambatan baharu itu menghubungkan Gurney Drive yang ikonik kepada sebuah komuniti baharu yang pesat membangun di pulau itu.
“Meskipun ia kelihatan seperti sebuah jambatan semata-mata, bagi Pulau Pinang ia membawa makna lebih besar, iaitu satu kemajuan dalam aspek keterhubungan, perancangan yang baik dan pembangunan masa depan,” katanya.
-- BERNAMA