MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Kempen Internet Selamat di semua sekolah di Melaka akan diperluas dengan pendekatan lebih berfokus bermula tahun depan bagi memastikan pelajar dan guru mendapat maklumat berkaitan keselamatan digital dengan lebih menyeluruh.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata berdasarkan dapatan awal bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan pelajar.
“Kita mahu setiap guru mendapat input hasil kempen ini dan perancangan agar ia lebih berfokus dibuat selepas melihat hasil pelaksanaan kempen ini sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kempen Internet Selamat Peringkat Wilayah Selatan di Universiti Multimedia Kampus Melaka di sini hari ini.
Karnival berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran yang mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fairul Nizam berkata sebanyak 313 daripada 317 sekolah telah disantuni tahun ini melalui Kempen Internet Selamat dan akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memaksimumkan pelaksanaan program itu sebagai platform menyebarkan kesedaran mengenai risiko dan ancaman siber terutama melibatkan isu pengantunan yang menyasarkan kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ibu bapa, jiran dan guru agar lebih waspada terhadap penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak, khususnya yang berusia di bawah 16 tahun, selaras dengan dasar kerajaan yang tidak membenarkan golongan bawah umur mengendalikan akaun media sosial.
“Kita bimbang aktiviti tidak sihat seperti grooming (pengantunan) dan eksploitasi dalam talian boleh menembusi ruang digital anak-anak sekiranya tidak dipantau. Walaupun belum ada kes dilaporkan di Melaka, usaha pencegahan perlu dipertingkat,” katanya.
--BERNAMA