Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pembangunan Luar Bandar dan Inovasi ASEAN (ARDIC) bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan luar bandar di Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ARDIC akan berperanan sebagai platform tetap untuk menyelaras dasar, berkongsi inovasi serta memperkukuh pembangunan luar bandar secara kolektif di seluruh rantau ini.
"ARDIC dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkasakan pertukaran teknologi, amalan terbaik dan kepakaran antara semua 11 negara ASEAN," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (14th AMRDPE) di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Thailand, mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat 14th AMRDPE serta Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.
Beliau berkata Malaysia mahu kemakmuran di ASEAN dikongsi bersama melalui pertukaran pengalaman dalam kalangan negara anggota terutama yang belum mencapai pembangunan luar bandar mampan.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia akan memperkenalkan Hari Pembangunan Luar Bandar Julai depan selaras dengan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menonjolkan peranan komuniti desa dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar.
Beliau berkata Malaysia akan terus menumpukan kepada pembangunan luar bandar melalui pendekatan berasaskan inovasi, penglibatan komuniti, pendigitalan serta peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membasmi kemiskinan.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus memainkan peranan konstruktif dan berwibawa dalam kerangka ASEAN, dengan komitmen memastikan komuniti luar bandar menjadi penerima manfaat utama pembangunan serantau menjelang ASEAN 2045,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Malaysia juga terus melaksanakan pelaburan besar dalam infrastruktur luar bandar termasuk RM2.3 bilion bagi 1,364 projek jalan dan RM195.2 juta untuk bekalan air bersih melibatkan 5,000 rumah.
Pelaburan lain, kata beliau termasuk RM159.47 juta bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil kepada 2,010 penerima serta RM364.45 juta menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang telah membantu lebih 10,000 keluarga meningkatkan kualiti hidup.
"Pada masa sama, usaha meningkatkan sosioekonomi luar bandar turut diperkukuh melalui sokongan kepada 55,400 usahawan khususnya melalui pendigitalan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran lebih luas di seluruh ASEAN," katanya.
Mesyuarat 14th AMRDPE turut menyaksikan dua organisasi dari Malaysia iaitu Energy Action Partners (ENACT) dan GE Nitrate Solutions menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.
-- BERNAMA