JENAYAH & MAHKAMAH

JAS Melaka Keluar 14 Kompaun Bernilai Lebih RM14,000 Dalam Operasi Gerak Kenderaan Motor

12/12/2025 09:04 PM

MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka mengeluarkan 14 kompaun bernilai RM14,400 terhadap 14 kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam dua Operasi Gerak Kenderaan Motor sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 Melaka yang dilaksanakan di sekitar negeri itu selama lima hari bermula 8 Dis.

Pengarah JAS Melaka Rosli Mustafa berkata enam daripada kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Enjin Diesel) 1996 yang memperuntukkan kompaun bernilai RM2,000 setiap satu manakala lapan lagi di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan) 1987 yang memperuntukkan kompaun bernilai RM300 setiap satu.

"Selain itu, tiga perintah larangan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan terhadap tiga kenderaan kerana bacaan ketumpatan asap melebihi 70 peratus atau mengeluarkan asap terlalu hitam.

"Tiga kenderaan itu tidak dibenarkan bergerak di atas jalan raya kecuali dibaiki di bengkel dahulu dan menjalani pemeriksaan sekali lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 19 kenderaan turut diarahkan menjalani ujian semua kenderaan berkenaan dengan 11 kenderaan mempunyai bacaan ketumpatan asap melebihi 70 peratus manakala lapan atas kesalahan bunyi enjin terlalu bising.

Rosli berkata dalam operasi itu juga, 286 kenderaan telah diperiksa dan 36 diambil tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan oleh pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Agensi Antidadah Kebangsaan Melaka, Unit Penguat Kuasa Lebuhraya JPJ, Pejabat Peronda Lebuh Raya Zon Selatan 1 dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS).

Beliau berkata operasi turut melibatkan pemeriksaan terhadap dua premis bengkel yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan sistem penyejukan dan penyaman udara di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020, dua premis Pengendali Berkumpulan (Fleet Operator) dan satu stesen perhentian kenderaan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Hasil pemeriksaan itu, satu premis Pengendalian Berkumpulan dan stesen perhentian kenderaan telah dikenakan tindakan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 manakala satu kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 kepada pengendali berkumpulan turut dikeluarkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502180