AM

Anggota Tidak Halang Ambulans, Siren Milik Polis - KP Melaka

12/12/2025 08:55 PM

MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Polis Kontinjen Melaka menegaskan anggota trafik tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti yang didakwa dalam video tular manakala bunyi siren yang kedengaran dalam rakaman itu adalah milik polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas semasa mengiringi konvoi delegasi pelabur dari China semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka sedang mengiringi konvoi 18 bas delegasi China iaitu pelabur insentif, yang bergerak dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pintu Gerbang Ayer Keroh bagi tujuan promosi pelancongan negeri.

"Ketika konvoi tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Taming Sari, anggota trafik bertugas menghentikan aliran trafik dari arah pusat bandar serta mengawal kenderaan dari arah Tol Ayer Keroh bagi memberi laluan kepada konvoi berkenaan.

“Semasa kawalan dibuat, anggota trafik melihat sebuah ambulans Bulan Sabit Merah Malaysia dari arah  Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) Semabok berhenti di lorong kanan dengan lampu ‘beacon’ merah biru dihidupkan tetapi tanpa siren dan tanpa lampu isyarat kecemasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata ambulans terbabit beratur seperti kenderaan lain dan penilaian dibuat atas justifikasi sekiranya ambulans itu dalam kecemasan akan menggunakan lorong kiri serta membunyikan siren untuk memohon diberi laluan kecemasan.

Beliau berkata selepas bas terakhir konvoi melepasi kawasan berkenaan, anggota trafik meninggalkan lokasi dan ambulans itu masih berada di lorong kanan tanpa bergerak serta tanpa bunyi siren kecemasan seperti dakwaan dalam video yang ditularkan.

Terdahulu satu video tular menerusi laman Facebook mendakwa anggota trafik menahan ambulans bagi memberi laluan kepada VIP.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502176