SUKAN

Harapan Emas Angkat Berat Malaysia Terus Menyala Meskipun Aniq Kasdan Di Tempat Keempat

13/12/2025 11:00 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) --  Atlet angkat berat kebangsaan Mohamad Aniq Kasdan terlepas peluang memenangi pingat selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara angkat berat lelaki kategori 60 kilogram (kg) pada Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung di Sekolah Sukan Chonburi di sini hari ini.

Bersaing dalam kalangan enam atlet, peserta program Road to Gold (RTG) itu mencatat jumlah angkatan keseluruhan 285 kg iaitu 125 kg dalam acara snatch dan 160 kg dalam clean and jerk.

Pingat emas dimenangi atlet Thailand Theerapong Silachai dengan jumlah angkatan keseluruhan 304 kg (131 kg dalam acara snatch dan 173 kg dalam acara clean and jerk) manakala perak milik atlet Indonesia Ricko Saputra yang mencatat angkatan 295 kg (132 kg dalam acara snatch dan 163 kg dalam acara clean and jerk).

Atlet Vietnam Doung K melengkapkan kedudukan podium apabila meraih pingat gangsa dengan jumlah angkatan 289 kg (125 kg dalam acara snatch dan 164 kg dalam acara clean and jerk).

Untuk rekod, Persatuan Angkat Berat Malaysia bertekad menamatkan kemarau pingat emas dalam acara itu selama 20 tahun pada temasya Sukan SEA.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas ialah menerusi Che Mod Azrol Che Mat dalam kategori 105 kg ke atas pada edisi 2005 di Filipina.

Pertandingan bagi acara angkat berat bagi edisi 2025 bermula hari ini, dan berlangsung hingga Rabu depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502487