BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Atlet luncur ais negara Fang Ze Zeng meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan SEA 2025 di sini hari ini.
Ze Zeng mengumpul 157.22 mata untuk menaiki podium di Pusat Latihan Luncur Ais Antarabangsa IWIS di Samut Prakan.
Ze Zeng mengetepikan cabaran Brandon James Baldoz dari Filipina, yang meraih perak dengan 137.98 mata.
Peluncur ais tuan rumah Aaron Kulvatunyou terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengumpul 128.39 mata.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
Sementara itu, pengurus pasukan Mohamad Fadzli Johan memberitahu Bernama beliau berpuas hati melihat Ze Zeng menepati jangkaan untuk menyumbang pingat emas.
Beliau mengakui Ze Zeng menunjukkan tanda-tanda gementar sebelum pertandingan, namun berkata pasukan berjaya menenangkannya dan menyuntik semangat positif menjelang acara itu.
“Dengan bantuan pasukan kami, Ze Zeng dapat atasi segala kerisauan dan perasaan gugup ketika pertandingan. Alhamdulillah beliau dapat melakukan persembahan terbaik,” katanya.
Dalam acara sama, seorang lagi peluncur ais negara Low Chun Hong menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 91.12 mata.
-- BERNAMA