SEREMBAN, 13 Dis (Bernama) -- Dua rakan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir, Jempol petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norhisham Mustapar berkata kejadian pada 5.55 petang itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tengah masing-masing berusia 13 dan 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala serta tangan.
Beliau berkata seorang lagi pembonceng berusia 13 tahun dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat cedera pada kepala dan patah kedua-dua kaki.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga pelajar perempuan itu menaiki sebuah motosikal jenis Honda C100 dari arah Taman Mawar ke Taman Musytari.
“Setiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikal itu lalu terbabas ke bahu jalan kanan dan melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Norhisham berkata mayat dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal melalui talian 016-362 7746 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA