JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Maut Dirempuh Motosikal Di Kampus UiTM Machang

13/12/2025 11:34 PM

KOTA BHARU, 13 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Machang maut selepas dilanggar sebuah motosikal di kawasan kampus berkenaan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu daripada orang awam pada 6.40 petang dan mangsa yang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama.

“Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai telah melintas jalan secara mengejut yang menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, pejalan kaki berkenaan terjatuh ke atas pembahagi jalan dan cedera pada bahagian kepala.

Ahmad Shafiki berkata mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat manakala kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, katanya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Khairulanwar Adam melalui talian 011-1008 5165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang 09-975 1222.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502495