AM

Lorong Seni Seremban Diiktiraf MBR Sebagai Lorong Seni Terpanjang

14/12/2025 10:56 AM

SEREMBAN, 14 Dis (Bernama) -- Lorong Seni Seremban di sini mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan rasmi Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Lorong Seni Terpanjang di Malaysia.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Baharuddin berkata lorong satu kilometer yang siap pada 2024 selepas pembangunan bermula pada 2019, kini antara tarikan pelancongan Negeri Sembilan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan memperkasakan seni dan budaya negeri.

Beliau berkata projek itu melibatkan kos keseluruhan RM2.5 juta dan lebih 50 mural dengan kebanyakannya hasil sentuhan pelukis tempatan yang mengetengahkan elemen warisan, budaya serta identiti setempat.

“Projek ini lahir daripada konsep mengembalikan lorong kepada orang awam. Kita menilai semula fungsi lorong belakang bukan hanya sebagai laluan utiliti tetapi sebagai laluan selamat dan selesa kepada orang awam serta pelancong dalam konteks seni bandar.

“Penambahan bilangan mural menjadikan Lorong Seni Seremban lebih segar dan menarik minat generasi muda serta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengiktirafan itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Nicole Tan serta wakil MBR Siti Nurhanim Mohd Noh dan Mohamad Nazrul Hafii Ahmad Fauzi.

Masri berkata selain memulihara bangunan warisan di pusat bandar, projek itu menghidupkan semula aktiviti ekonomi setempat dan mengangkat Seremban sebagai bandar kreatif serta memberi manfaat langsung kepada peniaga kecil di kawasan Benteng Walk dan Sungai Ujong Walk.

Beliau berkata rekod MBR itu juga sebagai pengiktirafan terhadap penggiat seni dan komuniti tempatan yang sentiasa menyokong usaha pembangunan bandar selain menjadi permulaan penting mempromosikan Seremban seiring Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Pengiktirafan ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada lebih banyak inisiatif seni, budaya dan pelancongan yang akan menjadikan Seremban bandar yang progresif, kreatif dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Masri berkata Lorong Seni Seremban ditutup sepenuhnya kepada kenderaan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 12 tengah malam hingga 12 tengah malam hari berikutnya termasuk Hari Kelepasan Am.

Langkah itu bagi memastikan keselamatan pengunjung, mengekalkan kualiti dan kelestarian mural, mewujudkan persekitaran lebih mesra pejalan kaki serta menyokong aktiviti seni, budaya dan ekonomi setempat.

“Dengan status baharu sebagai lokasi berprestij diiktiraf MBR, sudah tiba masanya Lorong Seni Seremban diberi ruang sepenuhnya kepada orang awam selaras dengan konsep asal mengembalikan lorong kepada orang awam,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502516