EKONOMI

Dassault Systemes Perluas Kerjasama AI Pacu Ekonomi Malaysia Berteraskan Inovasi

14/12/2025 11:49 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Dassault Systèmes mempertingkat kerjasamanya dengan industri dan kerajaan Malaysia untuk mempercepat penggunaan teknologi kembar maya (virtual twin) dan kecerdasan buatan (AI) generatif, meletakkan negara dalam fasa baharu transformasi industri dan aeroangkasa di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan.

Dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini, Naib Presiden Eksekutif Dassault Systèmes untuk Asia Pasifik Samson Khaou berkata syarikat sedang memperkukuh sokongan terhadap aspirasi Malaysia dalam sektor aeroangkasa, pembuatan dan pembangunan bandar melalui platform 3DEXPERIENCE yang selamat, dibangunkan untuk memenuhi keperluan global yang ketat dari segi pematuhan, kebolehkesanan dan kebolehjelasan.

3DEXPERIENCE ialah platform perniagaan dan inovasi yang menyediakan organisasi dengan visi menyeluruh dan pada masa nyata mengenai aktiviti dan ekosistem perniagaan mereka.

“Di Malaysia, kami menangani cabaran utama mengenai kualiti data, pematuhan peraturan dan kesediaan tenaga kerja melalui platform 3DEXPERIENCE selain bekerjasama rapat dengan Pusat Latihan Industri Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) dan rakan kongsi tempatan untuk meningkatkan kemahiran jurutera dan juruteknik,” katanya.

Beliau berkata ini akan memastikan tenaga kerja aeroangkasa bersedia sepenuhnya untuk mengguna pakai proses penyelenggaraan kembar maya dan berasaskan AI dengan selamat, cekap dan pada skala yang besar.

Khaou berkata pendekatan Dassault menggabungkan teknologi, pembangunan bakat dan kerjasama ekosistem, bertujuan membantu Malaysia membina ekonomi yang mampan dan dipacu inovasi, apabila industri dan komuniti mendapat manfaat secara langsung daripada keupayaan AI dan digital generasi baharu.

“Melalui penyelarasan dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan, kami dapat membantu mempercepat reka bentuk berasaskan AI, penyelenggaraan ramalan dan pengoptimuman rantaian bekalan, menjadikan negara ini sebagai hab pembuatan termaju, pembangunan bandar pintar dan ekosistem AI yang dipercayai,” katanya.

 

Mentransformasikan keupayaan MRO dan aeroangkasa

 

Mengenai peluang dalam sektor penerbangan, katanya kembar maya 3DUNIVERSE Gen 7 Dassault, yang disepadukan dengan AI membolehkan peralihan daripada penyelenggaraan reaktif kepada ramalan dan preskriptif.

Khaou berkata AI berasaskan kembar maya dapat menganalisis aliran data sensor, penerbangan dan penyelenggaraan untuk menjangka baki jangka hayat komponen pesawat, membolehkan pengendali penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mengurangkan masa henti, mengoptimumkan penjadualan sumber dan mensimulasikan pembaikan sebelum pelaksanaan.

“Dengan ekosistem MRO Malaysia yang semakin berkembang, terutamanya sejak lima tahun lepas, keupayaan ini dapat meningkatkan masa pemulihan dengan ketara dan memodenkan operasi rantaian bekalan,” katanya.

Dassault Systèmes telah menjalin kerjasama dengan NAICO Malaysia dan Feiran Technology melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun lepas, melibatkan pembangunan Sistem Digital Aeroangkasa Malaysia (MADS) dan penubuhan Makmal Visualisasi 3D di MyAERO Centre of Excellence.

 

Menyokong pembuatan pintar, perancangan bandar

 

Khaou berkata kembar maya juga menjadi teras kepada aspirasi Malaysia dalam pembuatan termaju dan pembangunan bandar pintar.

Platform 3DEXPERIENCE syarikat membolehkan industri menghasilkan semula seluruh persekitaran pengeluaran, menguji senario secara maya dan mengoptimumkan proses untuk kemampanan, kecekapan tenaga dan penjimatan kos.

Beliau berkata MoU Dassault dengan Invest Sarawak baru-baru ini mencerminkan minat negeri itu dalam menggunakan kembar maya dan AI untuk menyokong perancangan bandar pintar, hab perindustrian hijau dan kluster pembuatan digital.

Pada 22 Oktober lepas, Dassault menandatangani MoU dengan Invest Sarawak untuk meneroka kerjasama yang menyokong transformasi negeri itu kepada ekonomi berteraskan inovasi dan mampan, selain meningkatkan kapasiti inovasi tempatan dan membangunkan bakat yang sedia untuk masa depan.

“Dalam sektor pembuatan, pengoptimuman berasaskan AI membantu menyusun semula barisan pengeluaran untuk kemampanan. Dalam perancangan bandar, kembar digital membolehkan bandar mensimulasikan infrastruktur, mobiliti dan sistem tenaga sebelum ia dibina,” katanya.

 

Menyediakan tenaga kerja Malaysia

 

Beliau berkata fokus utama ialah memastikan rakyat Malaysia mendapat latihan dan dilengkapi untuk bekerja dengan simulasi maju, AI dan teknologi kejuruteraan maya.

Pada tahun lepas sahaja, Dassault Systèmes telah menyumbang ke arah melatih semula atau meningkatkan kemahiran lebih 3,200 pelajar dan profesional Malaysia. 

 

Model inovasi baharu dan kerjasama 

 

Mengenai masa depan, Khaou berkata syarikat melihat potensi yang tinggi untuk kerjasama baharu di Asia Pasifik, terutamanya di Malaysia apabila inisiatif berteraskan ekosistem dapat mempercepat transformasi digital yang selamat tetapi berani.

Ini termasuk persekitaran sandbox kawal selia untuk ujian kembar maya berasaskan AI, program pemecut permulaan menggunakan platform Dassault dan kerjasama yang lebih luas dengan ahli akademik untuk menerapkan model dan simulasi dalam pendidikan kejuruteraan.

Beliau turut menekankan peluang untuk mentransformasikan rantaian bekalan, membangunkan proses industri yang lebih bersih dan memajukan ekonomi kitaran melalui perancangan berasaskan AI dan pengoptimuman kitaran hayat.

“Kepelbagaian Asia Pasifik menjadikannya sesuai untuk menjalankan inovasi bertanggungjawab pada skala besar. Dengan hala tuju dasar Malaysia yang kukuh dan kumpulan bakat yang semakin berkembang, negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk menerajuinya,” katanya.

Khaou berkata apabila industri menjadi semakin berpengetahuan dan dipacu IP, pendekatan Dassault terhadap Pengurusan Kitaran Hayat Harta Intelek, yang dibina berdasarkan pengalaman global selama beberapa dekad, menyediakan syarikat Malaysia dengan persekitaran yang dipercayai untuk menjana, mengurus dan melindungi aset IP.

“Akhirnya, peneraju masa depan akan terdiri daripada mereka yang berinovasi, melindungi dan memperluas aset intelektual,” katanya, sambil menambah syarikat komited untuk membantu Malaysia membina masa depan tersebut.

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502532