POLITIK

Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Bermula Rabu, Fokus Pencapaian PRN Sabah

15/12/2025 05:40 PM

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-40 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula Rabu ini akan membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini.

Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata para perwakilan juga akan membincangkan dasar dan usul untuk mempertahankan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta strategi untuk menangani isu-isu rakyat seperti pembangunan infrastruktur, kos sara hidup dan peluang ekonomi.

Beliau berkata persidangan itu juga akan menjadi platform penting untuk perwakilan menilai semula perjalanan parti sejak ditubuhkan 40 tahun lepas.

"Seiring dengan sambutan 40 tahun penubuhannya dan melangkah dekad kelima, PBS terus mempertahankan kepentingan Sabah, mempromosikan pembangunan inklusif dan memastikan suara rakyat didengari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dijangka merasmikan persidangan yang akan diadakan di Dewan KDCA di Penampang.

Pada PRN Sabah 29 Nov lepas, PBS diberikan 15 kerusi dan memenangi tujuh daripadanya, iaitu Kundasang, Matunggong, Kiulu, Tandek, Lumadan, Telupid dan Limbahau sekali gus menyumbang kepada 29 DUN dimenangi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502986