JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Enam Lelaki Bergaduh Di Jelutong

16/12/2025 12:13 PM

GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong di sini malam tadi, yang kejadiannya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata semua lelaki tempatan berusia 25 hingga 28 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar negeri berkenaan malam tadi.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian itu berlaku pada 7.30 malam melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan dan punca kejadian dipercayai akibat pertikaian urusan jual beli sebuah kereta antara dua pihak yang terlibat.

“Siasatan polis berjaya menahan enam lelaki itu, empat daripada mereka dipercayai suspek utama direman tiga hari sehingga 18 Dis manakala dua lagi direman sehari hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

Terdahulu, tular video berdurasi 2.24 minit memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh termasuk ada yang menggunakan topi keledar untuk memukul antara satu sama lain di tepi jalan, malah turut merosakkan sebuah kereta dipercayai milik seorang daripada mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503198