JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Rugi RM359,150 Terperdaya Sindiket Penipuan Panggilan Telefon

16/12/2025 02:37 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang kerani sebuah syarikat swasta di Perai di sini kerugian RM359,150 selepas terperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai syarikat e-dagang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata wanita berusia 60 tahun berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Sabtu lepas dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Mangsa memaklumkan ketika berada di tempat kerja pada 7 Mac lepas, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat e-dagang yang mendakwa data butiran peribadi wanita itu terlibat penjualan ubat tiruan sehingga menyebabkan seorang pengguna dimasukan ke hospital selepas menggunakannya.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kononnya kepada seorang pegawai polis yang memaklumkan mangsa turut terlibat pengubahan wang haram dan meminta wanita iru memberikan kerjasama kepada polis untuk siasatan lanjut serta mengikut arahan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu melakukan 27 transaksi ke dalam sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM359,150 sejak 7 Mac hingga 1 Okt lepas, malah suspek mengarahkan wanita itu hadir ke mahkamah di Light Street bagi prosiding berkaitan pada 13 Dis.

Helmi berkata mangsa telah hadir dah menunggu sehingga semua prosiding selesai namun namanya tidak dipanggil oleh pihak mahkamah.

“Mangsa buat semakan di kaunter mahkamah dan mendapati namanya tidak tersenarai sebarang kes serta tiada dalam rekod mahkamah, setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, beliau bertindak membuat laporan polis,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503263