AM

Bilik Multisensori Beri Ruang Murid PPKI Urus Emosi, Tingkatkan Fokus

17/12/2025 05:47 PM

IPOH, 17 Dis (Bernama) -- Penyediaan bilik multisensori bagi membantu perkembangan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), terutamanya bagi masalah autisme mampu memberi ruang kepada murid mengurus emosi dan tingkah laku serta meningkatkan fokus dan respons mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata bilik multisensori juga menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan selain merangsang sensori secara terkawal.

"Hasil penyelidikan juga menunjukkan persekitaran multisensori membantu murid PPKI meningkatkan kemahiran komunikasi, kognitif dan sosial. Ini adalah pelaburan jangka panjang yang sangat bermakna untuk masa depan mereka

"Pendidikan khas bukan sekadar menyediakan ruang belajar khusus tetapi ia adalah komitmen bersama untuk memastikan setiap murid tanpa mengira tahap keupayaan mendapat peluang pendidikan yang adil, sesuai dan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bilik Multisensori PPKI di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak Norzita Rabaai ketika ditemui pemberita berkata kos bagi menubuhkan sebuah bilik multisensori dianggarkan antara RM30,000 dan RM50,000.

Beliau berkata dua buah bilik multisensori integrasi turut disediakan di Sekolah Coronation Park dan SK Sri Sentosa di daerah Kinta.

Norzita berkata penubuhan bilik multisensori berkenaan merupakan hasil usaha berterusan pihak pertubuhan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan serta potensi murid pendidikan khas.

"Melalui program ini, kita mahu masyarakat memahami bahawa anak-anak autisme dan murid pendidikan khas juga mempunyai potensi untuk membangunkan diri sekiranya diberi ruang, sokongan dan kemudahan yang bersesuaian," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gohub Capital Berhad Kenny Tan berkata sumbangan yang disalurkan pihaknya dapat membantu perkembangan pendidikan murid sekolah khususnya dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih inklusif dan berkualiti. 

Beliau berkata pihak syarikat akan memperluaskan sumbangan pendidikan bukan sahaja di Perak, malah ke seluruh negara dengan sasaran dana antara RM500,000 dan RM1 juta pada tahun depan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503762