SUKAN

Jelajah Dunia BWF: Tang Jie-Ee Wei, Pearly-Thinaah Selangkah Ke Separuh Akhir

18/12/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selangkah lagi untuk mara ke pusingan separuh akhir kejohanan jelajah dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu pada aksi kedua Kumpulan B hari ini.

Juara dunia itu bermula goyah pada set pertama selepas tumpas 17-21, namun bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 21-14, 21-15.

Ini merupakan kemenangan kedua buat pasangan negara itu selepas menumpaskan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie semalam.

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping pada aksi terakhir Kumpulan A esok.

Turut merakam kemenangan hari ini adalah beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya meraih kemenangan kedua selepas menumpaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada aksi kedua Kumpulan A.

Pearly-Thinaah yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Sea Thailand baru-baru ini tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.

Pasangan negara itu akan bertemu Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi melengkapkan aksi peringkat Kumpulan A esok.

Sementara itu, nasib berbeza dialami Soon Huat-Shevon yang tumpas buat kali kedua berturut-turut di kejohanan itu, kali ini di tangan Yang Zhe-Dong Ping sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir.

Pasangan suami isteri itu bermula dengan baik pada set pertama apabila menang 25-23 sebelum gagal meneruskan rentak cemerlang pada dua set berikutnya sebelum tewas 11-21, 20-22 dalam aksi yang berlangsung selama satu jam sembilan minit.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504056