AM

PPZ-MAIWP Rekod Kutipan Wakaf Cecah RM8 Juta, Jangka Penyumbang Terus Meningkat

19/12/2025 08:26 AM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merekodkan kutipan wakaf mencecah RM8 juta pada tahun lepas, mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ibadah itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP Mohammed Hassan berkata peningkatan itu menunjukkan masyarakat Islam mula melihat wakaf sebagai instrumen penting pembangunan sosioekonomi, sekali gus mengubah landskap pendanaan projek infrastruktur di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, momentum itu selari dengan strategi agensi berkenaan yang kini beralih menggunakan dana wakaf untuk membiayai projek fizikal jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana zakat yang mengalami defisit agihan.

"Kita melihat kepentingan bahawa zakat ini sifatnya untuk menyantuni kebajikan jangka pendek dan kita perlu dahulukan golongan asnaf. Wakaf pula adalah instrumen yang lebih sesuai untuk pembangunan jangka panjang seperti pembinaan bangunan dan aset yang manfaatnya berkekalan.

"Kita cuba ubah perkara ini, zakat untuk keperluan mendesak, manakala wakaf untuk membina kekuatan sosioekonomi ummah yang mampan hingga 10 atau 20 tahun akan datang," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai jurang kesedaran, Mohammed mengakui masih wujud salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap wakaf hanya terhad kepada golongan yang memiliki tanah atau aset kekal berbanding sedekah yang dilihat lebih mudah dilaksanakan.

"Ramai berasa wakaf ini susah, mesti kena ada tanah untuk buat masjid atau kubur, sedangkan kita di PPZ-MAIWP membuka ruang wakaf tunai serendah RM10 untuk membolehkan semua lapisan masyarakat menyumbang kepada projek seperti kelengkapan hospital dan keperluan pendidikan," katanya.

Bagi menangani kekeliruan akibat lambakan agensi yang membuat kutipan wakaf dan membina semula kepercayaan masyarakat, Mohammed berkata PPZ-MAIWP telah melaksanakan penjenamaan semula produk wakafnya daripada 'Wakaf PPZ' kepada 'Wakaf Wilayah Persekutuan'.

Beliau berkata penjenamaan semula itu lebih inklusif bagi menggambarkan dana yang dikutip adalah demi kesejahteraan seluruh warga Wilayah Persekutuan, selain mengelakkan kekeliruan fungsi PPZ yang sinonim dengan kutipan zakat.

"Isu lambakan agensi kutipan ini memang menimbulkan keraguan masyarakat, sebab itu di PPZ-MAIWP, kami mementingkan ketelusan dan kredibiliti. Kami laporkan kepada pewakaf (untuk wakaf khas) apabila sesuatu projek itu siap dibangunkan supaya mereka nampak hasil sumbangan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian mengenai insentif potongan cukai pendapatan yang ditawarkan kerajaan sebagai galakan untuk orang ramai berwakaf tunai.

Setiap sumbangan wakaf tunai melalui Wakaf Wilayah Persekutuan layak menerima potongan cukai pendapatan hingga 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967).

"Ramai tidak tahu bahawa selain rebat zakat, kita juga ada potongan cukai untuk wakaf tunai. Ini adalah instrumen yang sangat cantik digubal dalam undang-undang kita untuk menggalakkan orang Islam menyumbang," katanya.

Mohammed berkata dana wakaf yang terkumpul kini sedang giat digunakan untuk pelbagai projek berimpak tinggi termasuk penyediaan katil pesakit di hospital, penggunaan papan pintar di sekolah serta pembangunan pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak-anak asnaf.

Beliau menyeru umat Islam agar tidak melihat wakaf sebagai bebanan atau terpisah daripada amalan harian, sebaliknya merebut peluang berkenaan sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang pahalanya tidak akan terputus.

"Kita mahu jadikan wakaf sebagai satu budaya. Bayangkan jika seorang menyumbang RM10 sebulan, kesannya amat besar kepada kekuatan ekonomi umat Islam.

"Harta wakaf ini kekal sifatnya. Walaupun kita sudah tiada nanti, manfaatnya terus mengalir kepada masyarakat selama 50 atau 100 tahun akan datang, dan itulah legasi sebenar kita," katanya.

Umat Islam yang berminat untuk berwakaf dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari portal wakafwilayah.com.my, atau hubungi talian hotline 1-300-885757, atau laman media sosial @wakafwilayah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504347