GAYA HIDUP

Diagnosis Kanser Prostat Tahap Empat Si Ayah Dorong Anita Permata Sari Pupuk Kesedaran

14/12/2025 10:51 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Hos televisyen dan aktres popular Anita Permata Sari kini giat menyebarkan kesedaran tentang kanser prostat dan kepentingan pengesanan awal selepas bapanya didiagnosis menghidap kanser itu pada Mei lalu.

Pelakon filem Bukan Hantu Biashe Biashe (2023) dan Misteri Fraser (2025) itu berkata sebagai anak tunggal, beliau merupakan penjaga utama bapanya Mahendran Nayagam, 75.

Berkongsi tentang simptom yang dialami oleh bapanya sebelum didiagnosis, iaitu keletihan dan sakit-sakit badan serta kerap buang air kecil pada waktu malam, mereka menganggap kesemua itu tanda-tanda biasa penuaan.

Namun kebimbangan mereka bertambah apabila si ayah mengalami penurunan berat badan secara mendadak dalam tempoh lima bulan, dari 58 kilogram (kg) kepada 43 kg pada Mei. 

“Apabila saya sentuh bahagian bawah perutnya, saya terasa ada dua ketulan keras berhampiran kawasan pelvis. Saya tahu itu tidak normal,” imbas Anita, yang baru-baru ini menamatkan beberapa penggambaran telefilem Melayu untuk RTM, dengan lebih banyak projek dijadualkan untuk siaran televisyen dan tayangan pawagam tahun depan.

Anita kemudian membawa bapanya ke hospital swasta dan pemeriksaan lanjut termasuk imbasan CT dan biopsi mengesahkan kanser prostat tahap empat yang dipercayai berkembang senyap-senyap sejak lebih lima tahun lalu.

pic-2

Diagnosis itu menghancurkan perasaan mereka, kata Anita, dan menambah beliau sukar untuk memahami bagaimana penyakit tersebut mencapai tahap teruk tanpa dapat dikesan lebih awal. 

Pada awalnya, beliau keberatan untuk berkongsi pengalaman itu secara terbuka kerana menganggapnya terlalu peribadi, selain tidak mahu mendedahkan bapanya ketika dalam keadaan paling lemah.

Beliau kemudian mula mendokumentasikan keadaan bapanya secara diam-diam sambil mengkaji pelbagai cara untuk menyokong proses pemulihan, termasuk menggunakan kecerdasan buatan bagi memahami penyakit itu dengan lebih mendalam serta mendapatkan maklumat tentang rawatan dan pilihan gaya hidup terbaik.

“Apabila saya mula melihat perubahan kecil (pada bapa saya), ia memberi keyakinan kepada saya. Saya terfikir, jika ini boleh membantu ayah saya, mungkin ia juga boleh membantu orang lain,” katanya.

Kesedaran itu mendorongnya  berkongsi perjalanan mereka secara lebih terbuka, dengan harapan agar keluarga lain tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan atau mengabaikan tanda-tanda awal penyakit.

Anita berkata stigma dan ketakutan masih menjadi faktor utama ramai lelaki mengelak daripada menjalani saringan, sambil menyatakan bahawa kanser prostat sering digelar sebagai “penyakit senyap” kerana gejala lazimnya hanya muncul ketika kanser sudah di peringkat lanjut.

pic-3

“Pengesanan awal tidak menjejaskan kelelakian anda, sebaliknya ia melindungi peranan anda sebagai ayah, suami dan pencari nafkah,” katanya, menggesa keluarga agar menggalakkan kaum lelaki menjalani pengesanan mudah kanser prostat melalui ujian darah antigen khusus prostat (PSA). 

Menurutnya semasa didiagnosis, paras PSA bapanya sangat tinggi pada 818. Selepas berunding dengan pakar urologi, mereka memutuskan untuk merawat bapanya menerusi terapi hormon berbanding kemoterapi atas faktor usia.

Hanya dalam tempoh beberapa bulan menjalani terapi itu, paras PSA bapanya menurun dengan ketara dan kini pada paras 1.9, sekali gus memberikan harapan baharu kepada keluarga Anita. 

Selain rawatan perubatan, beliau juga memperkenalkan gaya hidup sihat dengan menyesuaikan pemakanan termasuk menyingkirkan gula, mengurangkan pengambilan karbohidrat tidak sihat, meningkatkan protein dan sayur-sayuran selain melakukan senaman ringan setiap hari.

“Memang tidak mudah ataupun sempurna, namun setiap perubahan kecil bagaikan satu langkah ke arah memberikan keselesaan lebih baik, kekuatan dan lebih banyak masa untuk ayah,” katanya.

“Saya bersuara bukan hanya sebagai figura awam, tetapi sebagai seorang anak yang mengambil berat. Kesedaran bukan sekadar maklumat tapi kasih sayang, masa dan peluang untuk memberikan kita lebih banyak masa dengan ayah kita,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502512