Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz bersara wajib hari ini setelah lebih 35 tahun mencurah bakti dalam perkhidmatan awam.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Disember 2020 sewaktu negara bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.
Pada ketika itu, perdagangan luar Malaysia berdepan dengan kegawatan apabila sempadan antarabangsa ditutup menyebabkan syarikat pengeksport terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak dapat mengeksport barangan mereka.
Keadaan ini menuntut agensi seperti MATRADE mencari solusi bagi mengelakkan eksport negara lumpuh. Pada ketika inilah, di bawah kepimpinan Mohd Mustafa, MATRADE memulakan inisiatif transformasi bagi membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk terus mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.
Inisiatif ini diteruskan bukan saja untuk manfaat syarikat pengeksport malah juga untuk pembangunan MATRADE di mana transformasi yang digerakkan itu bukan sekadar perubahan kosmetik pada struktur organisasi, malah melibatkan anjakan paradigma menyeluruh dalam kepimpinan dan budaya kerja warganya.
Transformasi ini meliputi pengukuhan modal insan; pengadaptasian digitalisasi menyeluruh; penaiktarafan aset fizikal dan penjenamaan semula organisasi bermula dengan penukaran logo kepada reka bentuk baharu yang lebih kontemporari.
Antara pencapaian daripada transformasi ini, adalah apabila MATRADE memenangi tempat pertama anugerah World Trade Promotion Organizations (WTPO) dalam kategori Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik untuk penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-17 (MIHAS) secara maya sepenuhnya pada 2021 ketika dunia dilanda COVID-19.
Semasa kepimpinan Mohd Mustafa, prestasi eksport negara turut dipacu dengan cemerlang apabila nilainya melepasi paras RM1.0 trilion pada setiap tahun bermula pada 2021.
Dalam hal ini, beliau seringkali menegaskan kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa kerja kuat seluruh warga MATRADE dan komuniti perniagaan Malaysia.
“Berlandaskan semangat We Are One, MATRADE telah berjaya menterjemahkan komitmen organisasi ini untuk menjulang eksport ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau kepada Bernama.
Bermula dari bawah, beliau yang menyertai MATRADE pada Jun 1994 sebagai Pegawai Ehwal Ekonomi memiliki pengalaman lebih 30 tahun dan menyifatkan perjalanan itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Mengimbau kenangan awal perkhidmatannya, Mohd Mustafa memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pengurus Bahagian Promosi Perdagangan MATRADE selepas berkhidmat di Kementerian Luar dan Kementerian Ekonomi.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Pejabat MATRADE luar negara dan berkhidmat secara kolektif selama 14 tahun di Paris, Dubai, Tokyo dan New York.
Mohd Mustafa mengakui bukan datang daripada keluarga yang senang dengan bapanya merupakan seorang pembantu pejabat bergaji RM35 sebulan manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa.
Justeru, ia membakar semangatnya untuk mengubah nasib keluarga dan menolong orang lain.
“Semasa saya ditawarkan untuk belajar di Amerika Syarikat (AS), saya beriltizam untuk mengubah nasib sendiri.
“Saya tidak percaya kepada masalah kerana saya sentiasa mencari jalan penyelesaian untuknya. Apabila bercakap tentang kepimpinan, saya sentiasa percaya pada nombor satu. Saya tidak percaya pada nombor dua dan satu lagi prinsip saya adalah untuk sentiasa menolong orang lain. Kesemua inilah yang membentuk diri saya hari ini," katanya.
Mohd Mustafa juga bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan tokoh-tokoh dan mentor hebat termasuk bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau juga mendapat bimbingan daripada mantan pengerusi MATRADE iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Tan Sri Dr Halim Mohammad dan kepimpinan terkini Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Selain itu, beliau turut meletakkan mantan ketua-ketua pegawai eksekutif iaitu Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros, Datuk Merlyn Kasimir dan Shamsuddin Marsop sebagai sumber inspirasi dan tokoh kepimpinan.
Mohd Mustafa turut menekankan kepentingan memahami landskap perdagangan global untuk merangka hala tuju MATRADE dan memacu ekonomi negara, terutamanya dalam mempromosikan produk bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), peranti perubatan dan aeroangkasa.
MATRADE berperanan sebagai jambatan antara syarikat Malaysia, khususnya PMKS dan pembeli antarabangsa dengan menyediakan risikan pasaran dan memudahkan akses ke pasaran global.
Melangkah ke hadapan, beliau optimis Malaysia mampu mencapai kadar pertumbuhan eksport ke tahap yang lebih tinggi dengan MATRADE sebagai penyumbang kepada pembangunan dan pengembangan industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi (High Growth High Value) melalui pengukuhan industri strategik yang inklusif.
Mohd Mustafa menerima pendidikan awal di St. Michael Institution Ipoh, Perak sebelum meneruskan pengajian di peringkat universiti dan menerima Diploma Pengurusan Hotel dari Universiti Teknologi MARA, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Hawaii Pacific University di Honolulu, Hawaii, AS serta Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Putra Malaysia.
-- BERNAMA