JENAYAH & MAHKAMAH

Kejadian Jenayah, Buli Di Sekolah Cetus Reformasi Menyeluruh

19/12/2025 10:24 AM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Tahun 2025 menjadi titik perubahan besar bagi negara dalam usaha menangani isu keselamatan di sekolah susulan beberapa kejadian menyayat hati melibatkan gejala buli dan jenayah di institusi pendidikan.

Ia mencetuskan reformasi menyeluruh termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Dis lepas, selain pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan tidak wajar dijangka bermula tahun depan.

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir menjadi tragedi paling menggemparkan hingga mencetuskan gelombang reaksi dan keprihatinan awam di seluruh negara.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Pada 20 Ogos lepas, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) turut memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar berkenaan, dengan prosiding di Mahkamah Koroner masih berlangsung hingga kini.

Negara turut digemparkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang maut ditikam seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama di sini pada 14 Okt lepas.

Polis percaya pengaruh media sosial dan dorongan emosi menjadi antara faktor suspek bertindak sedemikian.

Sementara itu, terpengaruh dengan permainan dalam talian disyaki menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun di Batu Pahat, Johor pada 27 Okt lepas.

Seorang murid berusia 10 tahun pula ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 Okt lepas dengan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher. 

Selain kes jenayah berat, beberapa kejadian buli turut dilaporkan berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, dengan pelaku dikenakan tindakan tegas dibuang sekolah selepas siasatan lembaga disiplin.

Isu buli mendapat perhatian serius Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah budaya negatif itu jika tidak dibendung sejak dari bangku sekolah, berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Susulan itu, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital bagi memerangi buli.

Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarah mengadakan lawatan ke sekolah secara mengejut, selain mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.

Selain itu, KPM juga menambah baik ciri-ciri keselamatan di sekolah seperti penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan bilangan warden asrama.

Sebanyak 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling juga ditempatkan di sekolah seluruh negara bermula November bagi meningkatkan aspek psikososial murid.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan menunjukkan sejak 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah.

Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan 160 kes buli termasuk buli fizikal dan buli atas talian antara Ogos hingga Oktober tahun ini, dengan 78 peratus mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata statistik itu mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dan rentan.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504365