AM

Pembayaran Bil Menerusi Agensi Kutipan Dihentikan Bermula 2026 - PBAPP

19/12/2025 03:15 PM

GEORGE TOWN, 19 Dis (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan pembayaran bil tidak lagi boleh dibuat di pejabat pos atau beberapa agensi kutipan pihak ketiga bermula 2026 berikutan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata agensi kutipan, iaitu Pos Malaysia, Paylink, MobilityOne dan MBF tidak lagi akan menerima bayaran bil dikeluarkan PBAPP.

“PBAPP telah lama bekerjasama dengan agensi itu dan tahun lepas, agensi terlibat mengutip komisen bagi 836,444 transaksi bil air Pulau Pinang, iaitu mewakili 27 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi pembayaran.

“Caj komisen yang dikenakan agensi itu antara RM0.40 hingga RM0.90 bagi setiap transaksi dan caj tersebut dikutip secara bebas serta terus daripada pengguna air Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak memperoleh walau satu sen daripada kutipan bil melalui pihak ketiga dan hubungan PBAPP dengan pelbagai agensi kutipan semata-mata demi kemudahan pengguna air Pulau Pinang.

Pathmanathan memaklumkan pada Februari lepas, SPAN memaklumkan pengguna air Pulau Pinang tidak boleh dikenakan caj komisen kutipan bil secara langsung dengan beberapa rayuan PBAPP ditolak. 

SPAN juga menyatakan PBAPP perlu menanggung kos komisen jika ingin membenarkan kutipan bil air melalui pihak ketiga yang mengenakan caj komisen.

Pathmanathan berkata pengguna boleh menikmati pilihan bayaran seperti myPBA mobile app, myPBA portal, JomPay Kod Bil: 50385, Maybank2U dan Easy Pay atau di sembilan Pusat Khidmat Pelanggan dikendalikan PBAPP tanpa dikenakan sebarang caj komisen.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504468