PASARAN

Bursa Malaysia Dijangka Kekal Stabil, Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

20/12/2025 10:30 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka stabil minggu depan mengukuhkan kenaikannya baru-baru ini dan diniagakan dalam jajaran kecil apabila pelabur melepaskan pegangan jangka pendek selepas prestasi kukuh dalam minggu yang berakhir ini.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata indeks petunjuk pasaran itu meningkat 61.43 mata, atau 3.83 peratus setakat bulan ini, termasuk kenaikan 1.72 peratus minggu ini, menjadikan Disember bulan yang kukuh bagi ekuiti tempatan.

"Walaupun keadaan pendanaan domestik kekal stabil, jumlah dagangan mungkin berkurangan disebabkan sesi dagangan yang lebih pendek menjelang cuti Krismas dan akhir tahun, mengekalkan jumlah dagangan di bawah purata tiga bilion saham.

“Dengan beberapa pengumuman data yang dijadualkan, termasuk Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi bulan November pada Isnin, pasaran mungkin menunjukkan kecenderungan yang lebih perlahan apabila para pelabur menilai semula pegangan mereka menuju ke minggu-minggu terakhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi, meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 bulan dan mengatasi paras 1,660.09 pada 27 September 2024, disokong oleh sentimen domestik yang semakin baik menjelang pengimbangan semula portfolio akhir tahun.

Terdahulu, pada 15 Disember, indeks penanda aras mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan iaitu pada 1,643.72, mengatasi paras 1,642.54 yang direkodkan pada 22 Oktober 2024.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 28.09 mata kepada 1,665.90 daripada 1,637.81 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 159.05 mata kepada 12,233.08, Indeks FBMT 100 naik 167.45 mata kepada 12,030.75, Indeks FBM Emas Shariah menokok 116.50 mata kepada 12,025.70, Indeks FBM 70 menambah 76.52 mata kepada 16,813.19, dan Indeks FBM ACE naik 56.69 mata kepada 4,814.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 340.05 mata kepada 19,561.75, Indeks Perladangan naik 139.89 mata kepada 8,291.16, Indeks Tenaga menambah 1.19 mata kepada 768.98, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit 1.22 mata kepada 170.39.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 12.77 bilion unit bernilai RM12.07 bilion daripada 15.95 bilion unit bernilai RM11.27 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 4.45 bilion unit bernilai RM566.59 juta daripada 7.06 bilion unit bernilai RM904.42 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.47 bilion unit bernilai RM544.20 juta daripada 1.81 bilion unit bernilai RM590.79 juta.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504712