AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang, Terengganu Terus Menurun

21/12/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu terus mencatatkan penurunan apabila 3,146 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri,  setakat petang ini.

Di PAHANG, situasi banjir di Rompin yang semakin pulih menyaksikan jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 2,575 mangsa daripada 859 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS setakat 4.25 petang berbanding 4,873 mangsa daripada 1,655 keluarga di 41 PPS pada pagi tadi. 

Berdasarkan aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan masih merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,986 orang yang berada di 19 PPS.

Ia diikuti Pekandengan 430 orang di enam PPS, Bera (69 orang di tiga PPS), Temerloh (35 orang di dua PPS), Maran (35 orang di satu PPS) dan Jerantut (20 orang di dua PPS).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman menurun kepada 571 orang daripada 155 keluarga setakat 4 petang tadi, berbanding 921 orang daripada 246 keluarga pada 9 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan semua mangsa di daerah itu kini berlindung di sebuah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok.

Dua PPS, masing-masing SK Binjai dan SK Chukai ditutup tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505077