Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan hasil yang lebih tinggi pada 2026 susulan kejayaan mengutip hasil berjumlah RM73.27 bilion setakat 16 Dis lepas.
Ketua Pengarah Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata antara faktor utama kejayaan kutipan hasil yang tinggi ketika ini ialah pelaksanaan pendigitalan secara menyeluruh, termasuk melalui Malaysian Customs Import Export Document System (MyCIEDS).
“Insya-Allah, sasaran akan ditingkatkan tahun depan. JKDM akan melaksanakan yang terbaik pada 2026,” katanya kepada Bernama.
Anis Rizana berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada JKDM atas pencapaian kutipan hasil yang tinggi baru-baru ini.
“Ketua Setiausaha Negara merakamkan penghargaan atas prestasi cemerlang JKDM bagi tahun 2025 apabila, walaupun belum mencapai 31 Dis, jabatan ini telah pun melepasi sasaran kutipan hasil bagi tahun berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Anis Rizana berkata pelaksanaan MyCIEDS yang menggantikan kaedah manual telah mempercepatkan proses pelepasan barangan di samping menutup ruang ketirisan.
“Dahulu proses ini mengambil masa dua atau tiga hari, namun kini seorang pegawai boleh memproses sehingga maksimum 350 transaksi dalam sehari.
“Impak paling besar ialah peralihan daripada penggunaan kertas kepada sistem tanpa kertas menerusi MyCIEDS, sejajar dengan usaha pendigitalan dan seruan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sistem berkenaan turut meningkatkan tahap ketelusan dan tadbir urus selain menghapuskan potensi rasuah di kaunter.
“Apabila semuanya dilaksanakan secara dalam talian, peluang salah guna kuasa hampir sifar. Inilah impak paling besar yang menyumbang kepada peningkatan hasil negara,” katanya.
MyCIEDS merupakan sistem elektronik rasmi JKDM bagi penghantaran dokumen sokongan secara dalam talian untuk tujuan pengikraran borang kastam.
Sebelum ini, Anis Rizana berkata JKDM mencatat prestasi cemerlang apabila kutipan hasil mencecah RM73.27 bilion sehingga 16 Dis lepas, sekali gus melepasi unjuran hasil semakan semula yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi tahun 2025, iaitu RM73.26 bilion.
Pada 2024, JKDM merekodkan kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion, jumlah tertinggi sejak tempoh pascapandemik, sekali gus melepasi sasaran semakan semula yang ditetapkan oleh MOF.
-- BERNAMA