Oleh Mohd Afiq Zulkifli
PETALING JAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kebanyakan kita menemukan panggilan jiwa pada usia muda, namun bagi penulis yang memenangi pelbagai anugerah Mohana Gill, detik yang membentuk semula kehidupannya itu hadir ketika beliau berusia 70 tahun.
Dua dekad berlalu, Mohana yang nama penuhnya Mohana Rosie Gill, kini masih aktif berkarya pada usia 90 tahun dengan semangat yang tidak pernah pudar, sedangkan ramai rakan seangkatannya memilih untuk memperlahankan langkah atau menumpukan masa sepenuhnya pada keluarga dan cucu.
Dikenali menerusi karya-karya inspirasi berkaitan gaya hidup sihat, masakan berasaskan tumbuhan dan penceritaan kanak-kanak, Mohana setakat ini telah menerbitkan lebih daripada 20 buah buku.
Mengimbau perjalanannya sebagai penulis, wanita kelahiran Myanmar itu berkata beliau hanya dapat menumpukan pada penulisan yang merupakan minat peribadinya selepas kesemua anak-anaknya dewasa.
“Saya sekadar menulis tanpa memikirkan soal lain. Hanya selepas buku pertama diterbitkan barulah saya benar-benar ‘menjadi’ Mohana Gill. Sebelum itu saya cuma dikenali sebagai Mrs Gill, isteri Dr Gill dan semua orang panggil saya Rose,” kongsinya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Bukit Gasing di sini.
pic-2
“Nama sebenar saya Mohana, tetapi saya tidak pernah gunakannya sebelum itu. Apabila saya mula menulis, saya fikir Rose kedengaran terlalu kebaratan. Dari situlah, pada usia 70 tahun, Mohana Gill ‘lahir’ dan dikenali sebagai penulis,” tambahnya.
Mohana membesar di Myanmar sebelum datang ke Malaysia selaku ekspatriat dan bertugas sebagai pensyarah di beberapa pusat pendidikan tinggi termasuk Universiti Malaya.
Beliau kemudiannya berkahwin dengan seorang doktor warga Malaysia, Satwant Singh Gill yang kini berusia 93 tahun, dan memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 1968, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai tanah airnya.
Pengalaman menjadi ibu dan kemudiannya nenek menyemai komitmen yang kuat terhadap pemakanan sihat dalam keluarganya, satu nilai yang diyakininya penting untuk kesejahteraan dan pertumbuhan serta kini dikongsikan dengan khalayak yang lebih luas menerusi buku-bukunya.
pic-3
Buku pertamanya berjudul Fruitastic, diterbitkan pada 2006. Buku itu menggabungkan pengetahuan pemakanan dengan resipi berasaskan buah-buahan.
“Saya bermula dengan (menulis tentang) buah-buahan kerana suami saya gemar makan buah dan sering mengingatkan saya bahawa buah-buahan baik untuk kesihatan. Daripada menulis tentang hidangan yang sudah banyak diperkatakan, saya fikir lebih baik menulis tentang buah-buahan terlebih dahulu sebelum berkembang kepada sayur-sayuran dan akhirnya buku kanak-kanak,” katanya.
Kejayaan Fruitastic terbukti menjadi satu pencapaian penting, membuka laluan kepada rangkaian karya yang pelbagai merangkumi makanan, budaya dan kesejahteraan, termasuk Vegemania (2006), Myanmar Cuisine, Culture and Customs (2014), Happylicious (2015), Flowerlicious (2019) dan Moringalicious (2023).
Mohana juga telah menulis lebih daripada 12 buah buku kanak-kanak yang memfokuskan pada pemakanan sihat dan kesedaran tentang makanan, sebahagiannya diterbitkan di peringkat antarabangsa dan diiktiraf atas nilai pendidikannya.
pic-4
Sumbangan beliau turut menerima pengiktirafan antarabangsa. Pada Anugerah Buku Masakan Dunia Gourmand yang berprestij di Riyadh, Arab Saudi bulan lalu, Moringalicious menerima anugerah “Best of the Best’ dalam kategori “Malaysia in the World”, manakala Fruitastic diiktiraf di bawah kategori “Food Culture in the World”.
Pada usia 90 tahun, Mohana kekal menjalani kehidupan harian yang aktif, menghabiskan masanya dengan membaca, mengait dan memasak di samping mengekalkan diet seimbang berasaskan sayur-sayuran, tabiat yang disifatkannya sebagai kunci kepada kesihatan dan kreativiti yang berterusan.
“Bagi saya, usia bukan penghalang. Selagi kita masih boleh berfikir, bergerak dan melakukan sesuatu yang bermakna, kita boleh terus menyumbang,” katanya sambil menambah bahawa rasa syukur dan penerimaan diri merupakan teras proses penuaan yang sihat.
Ketika ini Mohana sedang mengusahakan sebuah buku kanak-kanak berjudul Malaysian Treasure, yang menganyam unsur warisan tempatan - satu projek yang diharapkannya akan menjadi hadiah berkekalan untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA