JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota Polis Tampar Penunggang Motosikal Dalam Tugas Banteras Aktiviti Rempit

13/01/2026 04:32 PM

JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- Insiden seorang lelaki ditampar anggota polis di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor pada Ahad lepas dipercayai berlaku secara spontan ketika anggota terbabit menjalankan tugas dalam operasi trafik.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata anggota yang sedang bercuti itu dipercayai dipanggil bertugas bagi satu operasi membanteras aktiviti rempit di sekitar kawasan itu.

“Pada hari kejadian, satu operasi motosikal sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara. Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti rempit di kawasan itu dan anggota terbabit seorang daripada yang membantu operasi.

“Semasa kejadian, beliau cuba menahan kenderaan ini dan kenderaan yang ditunggang mangsa cuba melarikan diri. Mungkin spontan pada masa itu berlaku insiden tamparan. Dia bercuti tetapi dipanggil bertugas atas kekangan keperluan keanggotaan untuk bantu operasi pada hari itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata laporan polis pertama dibuat oleh pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian tampar itu di media sosial, sebelum laporan polis diterima daripada mangsa yang berusia 21 tahun pada malam hari kejadian.

Ab Rahaman memaklumkan sebanyak empat individu termasuk saksi dan anggota polis terbabit telah dirakam percakapan setakat ini dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat tambahan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dan tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur PDRM apabila siasatan selesai.

Beliau berkata anggota polis terbabit tidak digantung tugas tetapi tidak dibenarkan menyertai sebarang operasi sehingga siasatan selesai.

“Setakat ini, beliau menjalankan tugas seperti biasa kerana siasatan masih berjalan dan tindakan menahan kerja hanya boleh dilakukan apabila terdapat bukti kukuh serta pertuduhan mahkamah,” katanya.

Pada Ahad lepas, satu video berdurasi 33 saat tular memaparkan seorang penunggang motosikal yang sedang membonceng seorang wanita ditampar lelaki didakwa anggota polis di sebuah stesen minyak.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2511944