KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak petang ini menurun kepada 622 orang daripada 194 keluarga berbanding 1,603 orang daripada 498 keluarga pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan empat PPS masih beroperasi melibatkan kawasan Sibu, Bintulu dan Sebauh manakala kesemua lima PPS di Serian telah ditutup pada 2 petang tadi.
“Di Sibu, hanya satu PPS masih beroperasi iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek yang menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak 282 mangsa daripada 85 keluarga di Bintulu masih berlindung di PPS Dewan Suarah Bintulu manakala di Sebauh, PPS Balai Raya Sebauh menempatkan 150 mangsa dan PPS Dewan Sri Kemena SMK Sebauh 184 mangsa.
-- BERNAMA