JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Lumpuhkan Saki-baki Sindiket Iqbal

22/01/2026 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melumpuhkan saki-baki rangkaian penyeludupan migran sindiket Iqbal dengan penahanan dua lelaki warga Bangladesh dipercayai dalang kegiatan itu dalam operasi di sebuah pangsapuri servis di Taman Maluri di sini, Selasa lepas.

JIM dalam hantaran di Facebook memaklumkan suspek berusia 56 dan 28 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan penghantar selain operasi juga menahan lima lelaki Bangladesh antara 27 hingga 44 tahun disyaki migran yang diseludup. 

“Premis itu dikenal pasti sebagai rumah penampungan sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur dan dipercayai dibawa masuk melalui laluan darat tidak sah sekitar sempadan Malaysia-Thailand, sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,” menurut hantaran itu.

JIM memaklumkan operasi melalui Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) itu juga menyita sebuah Perodua Myvi yang digunakan untuk mengangkut migran terlibat. 

Kesemua tujuh yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

JIM memaklumkan sindiket itu sebahagian daripada sindiket Iqbal yang telah ditumpaskan di Kelantan dengan modus operandi utama kumpulan itu membawa masuk migran secara haram melalui laluan darat.

Pada Ahad lepas, JIM menumpaskan sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Iqbal’ dalam operasi khas tertumpu di sebuah premis dijadikan rumah penampungan bagi migran dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan tidak sah.

Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan 12 warga Bangladesh termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515515