JENAYAH & MAHKAMAH

Isteri Bekas PTD Salwani Didakwa Terima RM77,000 Hasil Aktiviti Haram

22/01/2026 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Isteri kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000, dua tahun lepas.

Salwani, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

”Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah,” katanya selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, wanita itu didakwa, sebagai pengawal Syarikat Wany Venture, telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram iaitu masing-masing berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat tersebut di sebuah bank cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini, antara 24 Nov 2024 hingga 25 Nov 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama dengan Subseksyen 87(1)(a) akta sama, serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM30,000 hingga RM50,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali pada minggu pertama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

"Jaminan yang ditawarkan tidak bersifat menekan kerana ia melibatkan kesalahan serius dan jaminan ini mencerminkan kesalahan tersebut. Pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah kerana terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri memandangkan beliau menghadapi pertuduhan serius," katanya.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Salwani memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya seorang suri rumah yang menjalankan perniagaan secara dalam talian serta menanggung ibu bapanya di Besut, Terengganu.

"Suaminya, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, telah dituduh di Mahkamah Sesyen pada hari ini dan dikenakan jaminan RM250,000. Anak guam saya masih bergantung sepenuhnya kepada suaminya dan tinggal bersendirian di rumah sewa yang dibayar suaminya.

"Selain itu, anak guam saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM sepanjang siasatan dan semasa tempoh reman enam hari. Oleh itu, pihak pembelaan memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM20,000, mengambil kira jumlah keseluruhan yang terlibat ialah RM77,000, selain tidak membantah syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan," katanya.

Terdahulu, mahkamah membenarkan Salwani duduk di kadang tertuduh semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya selepas Fahmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mengalami kesakitan di paha akibat penyakit bisul kronik.

Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan, dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Hakim Rosli juga membenarkan permohonan Wan Shahruddin supaya kes itu dipindahkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi atas alasan menjimatkan masa mahkamah serta melibatkan keterangan saksi yang sama.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain didakwa di hadapan Azura  atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Pada 7 Jan lepas, SPRM melalui Ops Parasit menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat. Keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM terhadap kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu, pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam, selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515326