GAYA HIDUP

Selepas 4 Dekad, Fauziah Latiff Bakal Ubati Kerinduan Peminat Dengan Konsert Solo

22/01/2026 10:51 AM
Daripada Wartawan BERNAMA Lifestlye

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Selepas empat dekad mengukir nama dalam landskap muzik tanah air, penyanyi legenda Fauziah Latiff akhirnya akan mengubati kerinduan peminat menerusi konsert solo berskala besar pertamanya pada 9 Mei depan.

Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan tahun ini.

Dianjurkan oleh IDEATELIER, konsert itu disusun sebagai penghormatan terhadap perjalanan seni pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu yang merentas generasi sejak era 1980-an.

pic-2

Berkongsi keputusannya menerima pelawaan mengadakan konsert tersebut, Fauziah, 56, berkata beliau mengambil masa hampir sebulan untuk bersetuju dengan faktor utama adalah keyakinannya terhadap semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan penganjur.

“Cara mereka bekerja sangat bersungguh. Dari segi seni dan produksi, semuanya pantas serta penuh kajian. Kita berbincang secara terbuka, saling memberi idea, mereka terima idea dan bincang idea saya...itu yang saya hargai,” katanya selepas sidang media konsert tersebut, semalam.

Mengakui sifatnya yang teliti dan mementingkan perincian, Fauziah tidak menafikan ketakutan memikul tanggungjawab besar menjadi alasan beliau menolak banyak tawaran menjayakan konsert sebelum ini.

pic-3

“Ini tanggungjawab besar, bukan hanya menyanyi, tetapi menghargai keseluruhan pentas, bukan sahaja penonton, malah pemuzik, pencipta lagu dan kru yang bertungkus-lumus,” katanya, menambah konsert pada Mei itu turut disusun bersempena dengan Hari Ibu, sebagai meraikan kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan wanita.

Penghibur TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)1992 dan 1993 itu berkata pemilihan lagu dalam konsert berkenaan akan membawa penonton menelusuri emosi serta memori lama yang dekat dengan perjalanan hidup mereka.

“Bila nyanyi lagu-lagu lama ini, secara automatik kita akan ingat balik masa dulu, banyak komunikasi emosi di situ dan kita raikan bersama,” katanya, menambah setiap lagu akan dihidupkan menerusi susunan muzik baharu namun masih mengekalkan ‘roh’ asal karya.

pic-4

Sementara itu, penganjur Ezuwan Ismail yang juga pereka fesyen popular, berkata konsert tersebut dibina dengan standard tertinggi sebagai tanda hormat terhadap legenda seni tanah air berkenaan.

“Saya sendiri peminatnya dan menanti-nantikan konsert penyanyi yang memiliki aura tersendiri ini. Lebih-lebih lagi ini konsert solo pertamanya selepas 40 tahun, jadi kami mahu penonton pulang dengan rasa mereka menyaksikan sesuatu yang bermakna, berkualiti dan ‘mahal’ dari segi emosi,” katanya.

Tiket boleh dibeli melalui laman web www.ticket2u.com.my/fauziahlatiff bermula 26 Jan ini pada harga antara RM299 dan RM6,999.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515347