JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengetua Sekolah Agama Hadapi 23 Tuduhan Pecah Amanah

22/01/2026 02:51 PM

BUTTERWORTH, 22 Jan (Bernama) -- Bekas pengetua sebuah sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 23 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80.

Zaidi Salleh, 58, yang ketika kejadian merupakan pengetua sekolah agama itu merangkap Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Julai hingga Disember 2019. 

Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah. 

Mengikut semua pertuduhan, Zaidi yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana milik sekolah tersebut didakwa telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta tersebut dengan membuat pindahan wang secara dalam talian kepada diri sendiri dan bagi perbelanjaan lain, sedangkan wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan sekolah.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar. 

Noor Azura menawarkan jaminan RM50,000, namun peguam Muhammad Adam Luqman Mohammad Ismail yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri dan lapan anak. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, selain melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsa kepada mahkamah hingga kes selesai.

Hakim menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515498