KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Konsert Hip Hop Tamizha Live: The Showdown di Stadium Merdeka pada 17 Jan menarik kehadiran kira-kira 30,000 peminat dan menjadi konsert India pertama di Malaysia yang menampilkan pertunjukan dron berskala penuh.
Dianjurkan oleh Don’t Run Away Asia, konsert luar berskala besar itu menampilkan duo hip-hop berpangkalan di Chennai yang dianggotai Adhi atau nama penuhnya Adhithya Ramachandran Venkatapathy dan R. Jeeva yang diiktiraf secara meluas sebagai perintis genre itu dalam muzik arus perdana India.
Don’t Run Away Asia dalam kenyataan memaklumkan penganjuran konsert di Stadium Merdeka susulan kejayaan konsert dalaman sebelum ini, dengan persembahan terbaharu itu direka untuk memberi pengalaman lebih hebat yang disokong oleh produksi serta elemen visual bertaraf tinggi.
“Selepas kejayaan konsert sebelum ini, kami mahu meningkatkan pengalaman dan membawa Hip Hop Tamizha ke Stadium Merdeka dengan produksi luar sepenuhnya serta pertunjukan dron buat kali pertama dalam konsert India merupakan satu langkah berani,” menurut kenyataan itu.
Konsert itu mendapat sokongan produksi syarikat penerbitan acara berpangkalan di India Media Mason manakala kejuruteraan bunyi dan pelaksanaan teknikal dikendalikan oleh Sound Innovations Malaysia.
Penganjur konsert memaklumkan acara yang menggabungkan persembahan bertenaga tinggi, visual berskala besar dan koreografi dron yang diselaraskan itu menetapkan penanda aras baharu bagi produksi hiburan secara langsung India di Malaysia.
Pemilihan Stadium Merdeka, antara mercu tanda ikonik di Malaysia menurut penganjur juga menambah nilai kepada persembahan itu yang turut mengetengahkan kerjasama silang budaya antara industri hiburan India dan Malaysia.
Konsert itu juga mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab serantau untuk penganjuran konsert antarabangsa berskala besar.
Hip Hop Tamizha mula mendapat perhatian melalui penerbitan hip-hop Tamil sebelum meraih kejayaan arus perdana dalam industri filem India dengan Adhi kemudiannya turut menceburi bidang lakonan dan sebagai pengarah.
Adhi juga mengarah dan membintangi filem Tamil Meesaya Murukku pada 2017 yang menyumbang kepada populariti duo itu merentasi muzik dan filem.
-- BERNAMA