JENAYAH & MAHKAMAH

1,520 anggota, Pegawai Polis Ditugaskan Di Sekitar Batu Caves Sempena Thaipusam

29/01/2026 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,520 pegawai dan anggota polis akan diatur gerak bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik di sekitar Batu Caves sempena sambutan perayaan Thaipusam, Ahad ini. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kekuatan itu melibatkan 166 pegawai kanan dan 1,354 pegawai rendah polis daripada Kontinjen Selangor, Bukit Aman serta kontinjen lain.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,376 anggota adalah dari Kontinjen Selangor manakala 144 lagi merupakan bantuan luar.

"Polis akan melakukan penutupan jalan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula 12.01 tengah malam ini (30 Jan) hingga 12.00 tengah malam pada 3 Feb ini.

"Tujuh jalan utama akan ditutup secara berperingkat mengikut keadaan semasa bagi memudahkan pergerakan pengunjung dan mengawal aliran trafik," katanya dalam sidang media Ops Palu di Batu Caves, di sini hari ini.

Shazeli berkata laluan yang terlibat ialah persimpangan lampu Isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah dua (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves dan susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan.

"Turut ditutup secara berperingkat ialah simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8 / Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat SBC (hadapan Shell) dan jalan pintasan Batu Caves menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves," katanya.

Shazeli menasihatkan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai urusan di kawasan sambutan agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

"Perincian setiap laluan akan dikemas kini melalui platform media sosial Facebook Polis Daerah Gombak untuk rujukan orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa kawasan Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves ialah kawasan larangan bagi pengoperasian dron tanpa permit.

"Mana-mana pihak yang ingin mengendalikan dron perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan," kata beliau.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518124