JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Warga Emas Disyaki Terlibat Kes Kematian Anjing Liar

31/01/2026 11:32 AM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki terlibat dalam kematian seekor anjing liar di Pusing dekat Batu Gajah, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad berkata suspek berusia 64 tahun ditahan di Pusing pada 11 malam tadi, selepas pihaknya menerima laporan kematian anjing itu 9.30 pagi semalam. 

“Kejadian dipercayai berlaku pada 7.30 malam 28 Jan apabila penduduk setempat mendengar bunyi letupan kuat dan mendapati anjing itu mati terbaring di jalan raya dalam keadaan mulut berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Noor Aehawan berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu, yang turut tular di media sosial, selain meminta semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518840