JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Pintas Bot Pom Pom, Tahan 80 Pendatang Tanpa Izin

31/01/2026 01:41 PM

PELABUHAN KLANG, 31 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 80 pendatang tanpa izin selepas berjaya memintas sebuah bot pom pom di perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, awal pagi semalam. 

Timbalan Pengarah Operasi APMM Selangor Kapten Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata bot itu ditahan kira-kira 3.30 pagi berdasarkan hasil risikan menerusi Op Ehsan dan Op Tanjung 2 Siri 1/2026.

“Bot ditahan di kedudukan kira-kira tiga batu nautika barat daya Sungai Air Tawar, Bagan Nakhoda Omar sebelum seorang individu dipercayai tekong bertindak terjun ke laut dan meloloskan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati bot pom pom berkenaan membawa 80 warga Indonesia terdiri daripada 49 lelaki dan 29 wanita berusia antara 14 hingga 60 tahun serta dua awak-awak lelaki, masing-masing berusia lingkungan 40 tahun.

Mohd Fairusnizam berkata selain warga Indonesia itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang berada di dalam bot terbabit. 

“Lelaki itu yang memiliki dokumen lengkap dipercayai kembali ke Malaysia setelah berkahwin dengan seorang wanita di Medan, Indonesia manakala siasatan mendapati setiap pendatang asing itu dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang bergantung kepada lokasi penghantaran,” katanya.

Beliau berkata kesemua warga Indonesia dipercayai masuk ke negara ini untuk mencari peluang pekerjaan manakala warga Bangladesh difahamkan menuju ke Johor untuk bekerja di sebuah kilang makanan sejuk beku selepas dua bulan cuti berkahwin.

Sindiket berkenaan, katanya difahamkan memilih untuk bergerak dari Jeti Nelayan Batu Bara, Indonesia dan menuju terus ke perairan Selangor tanpa transit.

Mohd Fairusnizam berkata kebanyakan sindiket sebelum ini menggunakan kaedah transit di tengah laut membabitkan bot nelayan tempatan, namun bot yang ditahan awal pagi tadi dipercayai tidak sempat berbuat demikian kerana tindakan pantas APMM.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518894