GAYA HIDUP

Buku Fizikal Kekal Jadi Pilihan Pembaca Pelbagai Generasi

31/01/2026 01:32 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 31 Jan (Bernama) -- Di sebalik ketersediaan buku digital, masih ada yang bukan sahaja menggemari naskhah digital tetapi bersedia mengembara ratusan kilometer, semata-mata untuk mendapatkan buku fizikal yang didamba.

Bagi Aisyah Mohammad, 31, memandu sejauh itu bukan masalah untuknya ke acara jualan buku, asalkan dia dapat memiliki buku yang dicari bagi menambahkan lagi koleksi di rumah.

Menetap di Kerteh, Terengganu, pekerja swasta ini antara ribuan pengunjung pesta buku Big Bad Wolf di sini baru-baru ini - satu perjalanan sejauh hampir 100 kilometer dari rumahnya.

"Saya seorang yang lebih suka memegang buku dan merasai helaian kertas kerana setiap bahan bacaan itu ada nilai sentimental tersendiri," katanya kepada Bernama.

pic-2

Meminati buku genre motivasi dan pembangunan diri secara fizikal, pekerja swasta ini juga bersedia berbelanja ratusan ringgit untuk bahan bacaan fizikal agar “pembacaannya tidak terganggu dengan kemunculan notifikasi” yang lazimnya dialami oleh pembaca bahan digital.

Berlangsung selama 11 hari bermula 29 Jan hingga 8 Feb ini, Big Bad Wolf 2026 kembali ke negeri ini sebagai hentian pertama jelajah tahunannya dengan acara jualan buku fizikal terbesar itu dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh tersebut.

Menawarkan pelbagai buku fizikal untuk semua peringkat umur, jualan itu memberi peluang kepada pengunjung memilih pelbagai bahan bacaan merentasi berbilang kategori dengan tawaran diskaun menarik - bermula pada harga serendah RM3 dan diskaun hingga 95 peratus.

Bagi generasi muda, Nur Allisya Natalia Norasidi, 22, biarpun membesar dalam era digital yang menyaksikan lambakan bahan mudah diakses dalam talian, minatnya adalah terhadap koleksi buku fizikal dek pengaruh ibu bapa selain pengalaman membaca yang dirasakannya lebih bermakna.

pic-3

"Saya membesar dengan peranti pintar dan Internet, tetapi buku fizikal tetap menarik kerana ia membantu saya memahami isi kandungan dengan lebih baik. Malah, memiliki koleksi buku sendiri lebih seronok dan menjadi sumber inspirasi untuk terus membaca," kata penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Johor itu. 

Pesta buku itu turut menarik warga asing, antaranya Reimi, wanita Jepun berusia 35 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak, yang berpendapat buku fizikal lebih mudah digunakan dalam sesi membaca dengan anak-anak.

“Apabila anak membaca buku digital, saya perlu membimbing mereka dari semasa ke semasa, tetapi dengan buku fizikal mereka dapat belajar lebih bebas dan selesa,” katanya.

Walaupun dari satu sudut bahan bacaan digital lebih mudah diakses selain tidak berat untuk dibawa ke mana-mana, buku fizikal masih lagi menjadi pilihan mereka yang mengamalkan budaya membaca kerana pengalaman menyelak setiap helaian kertas memberi satu kepuasan yang tidak ada gantinya.

pic-4

Berdasarkan tinjauan rambang Bernama, pembaca buku fizikal berpendapat bahan bercetak lebih selesa digunakan serta membantu mereka fokus pada pembacaan.

Selain itu, berbeza dengan tanggapan bahawa budaya membaca semakin terhakis dalam kalangan rakyat Malaysia, Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 oleh Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia mendedahkan purata jumlah buku dibaca oleh rakyat meningkat kepada sekitar 24 naskhah setahun berbanding hanya dua buah buku pada 2005. 

Justeru, penggemar buku fizikal bukan kolot atau ketinggalan zaman, sebaliknya mereka mengutamakan kepuasan daripada pengalaman menimba ilmu menerusi helaian kertas bercetak berbanding sekadar menatal skrin peranti elektronik.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518880