AM

KPKT Laksana 2,750 Projek Pembangunan Di Kampung Baru Cina, India Seluruh Negara - Nga

07/02/2026 04:10 PM

SUNGAI SIPUT, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Bahagian Kampung Baru Cina India (BKBCI) di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah melaksanakan 2,750 projek pembangunan di Kampung Baru seluruh negara dari 2023 hingga 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek prasarana awam itu dilaksanakan di seluruh 613 Kampung Baru dengan peruntukan berjumlah RM325.3 juta.

"Ini (projek) meliputi 1,786 projek kemudahan dan infrastruktur asas, 902 unit rumah usang telah dibaik pulih, 62 unit rumah baharu telah siap dibina dan lebih daripada 2,300 batang lampu jalan solar jenis LED telah dipasang untuk kemudahan penduduk Kampung Baru," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kejayaan Kampung Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata KPKT memperuntukkan RM15 juta untuk 89 Kampung India di seluruh negara, antaranya untuk kerja-kerja menaik taraf prasarana awam, infrastruktur, dewan orang ramai, lampu solar, sistem perparitan longkang, Medan Selera MADANI, pasar awam dan Taman MADANI.

Pada masa sama, Nga berkata dalam tempoh tiga tahun itu, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) seluruh negara berjaya menyempurnakan 15,802 projek prasarana awam.

“Pada 2023 bila saya diberikan amanah dan tanggungjawab, saya telah berazam untuk menyempurnakan 5,000 projek setiap tahun. 

"Projek infrastruktur awam untuk kesejahteraan rakyat. Setakat tiga tahun ini, kita telah berjaya melepasi sasaran, satu tahun 5,000 (projek), tiga tahun dah 15,802," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPKT telah menyelamatkan 1,333 projek sakit dalam tempoh tiga tahun, termasuk 34 projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit atau terbengkalai.

"Hari ini saya berani isytiharkan semua projek PR1MA seluruh negara siap 100 peratus. Lepas raya tak ada satu pun projek sakit," katanya.

KPKT dalam kenyataan pula memaklumkan, sebanyak 858 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100.5 juta sepanjang tahun lepas meliputi pelaksanaan 560 projek kemudahan dan infrastruktur asas seperti naik taraf jalan, longkang, gelanggang bola keranjang, balai raya dan sebagainya.

Antara lain adalah membaik pulih 279 rumah penduduk Kampung Baru yang berpendapatan rendah di bawah Program Bantuan Baik Pulih Rumah Kampung Baru dan membina 19 rumah baharu di bawah Program Rumah MADANI Rakyat Kampung Baru bagi rumah penduduk yang tidak selamat untuk diduduki serta tidak ekonomik untuk dibaik pulih.

Dalam pada itu, KPKT turut memaklumkan pelaksanaan 11 program pembangunan sosioekonomi Kampung Baru dengan peruntukan berjumlah RM2.49 juta dan memberikan manfaat kepada 1,895 penduduk serta usahawan telah diluluskan.

Berkenaan sesi lawatan hari ini, Nga turut melawat Projek Menaik Taraf Dewan Orang Ramai Kampung Baru Rimba Panjang yang telah disiapkan dengan kos RM199,630, selain Projek Menaik Taraf Pasar Awam (Tidak Halal) Sungai Siput dan Ruang Niaga Kampung Baru Simpang Jalong, yang masing-masing  dilaksanakan dengan kos berjumlah RM500,000.

Pada akhir siri lawatan, beliau turut merasmikan rumah baharu yang telah siap dibina di bawah Program Rumah MADANI Rakyat di Kampung Baru Simpang Jalong. 

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai rakan strategik KPKT menyiapkan pembinaan 19 rumah baharu dengan kos berjumlah RM1.51 juta, manakala bagi tahun ini, peruntukan berjumlah RM1.8 juta disediakan di bawah Program Rumah MADANI Rakyat Kampung Baru.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521249