KUANTAN, 8 Feb (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian lebih RM335,000 akibat pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook, November lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 51 tahun itu telah menghubungi seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan ditawarkan pelaburan saham dengan pulangan 12 peratus dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
“Mangsa membuat 19 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank dari 4 Dis tahun lepas hingga 27 Jan dengan menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa dimaklumkan telah memperoleh keuntungan sehingga lebih RM2.4 juta, namun diminta membuat bayaran tambahan 10 peratus daripada jumlah itu sebagai syarat untuk mengeluarkan wang tersebut.
Sehubungan itu, mangsa yang sedar telah ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA