KAJANG, 14 Feb (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengaitkan insiden meroboh sebuah kuil di Rawang pada Rabu lepas sebagai konflik perkauman dan agama, sebaliknya kejadian itu berkait dengan isu pencerobohan serta keengganan berpindah dari tanah bukan hak milik.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan berhubung kejadian itu sedang berjalan dan beliau enggan mengulas lanjut bagi mengelak sebarang persepsi terhadap mana-mana pihak, sama ada pemilik tanah mahupun pihak pengurusan kuil.
“Isu ini sebenarnya bersifat straight forward dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempolitikkan atau memainkan sentimen perkauman dan keagamaan kerana isu tersebut sebenarnya berkaitan pencerobohan dan keengganan berpindah dari tanah milik pihak tertentu, bukan konflik agama atau kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Walkabout Langkah Selamat Ketua Polis Selangor: Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang anjuran bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sini hari ini.
Shazeli berkata individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan susulan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan meminta pihak media dan orang ramai menunggu hasil siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi.
Pada Rabu lepas, polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang.
Penahanan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427/295/504/447 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA