AM

Tiga Daerah Di Sabah Dilanda Banjir, Satu PPS Dibuka

20/02/2026 09:27 AM

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Hujan berterusan sejak semalam mengakibatkan tiga daerah di Sabah dilanda banjir, dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kota Marudu, pagi ini.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, sebuah PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2 bagi menempatkan 213 mangsa daripada 63 keluarga.

Berdasarkan pemakluman situasi banjir dibuat Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam notis pengisytiharan bencana dikeluarkan 6 pagi tadi, dua lagi daerah dilanda banjir ialah Pitas dan Paitan.

Pemakluman tersebut dibuat berdasarkan maklumat di lapangan dan laporan diterima daripada agensi tindak balas JPBD di ketiga-tiga daerah susulan situasi banjir yang menyebabkan kawasan dikenal pasti mula terjejas akibat bencana itu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah memaklumkan banjir kilat telah berlaku di Taman Merpati Batu 7, Sandakan, awal pagi tadi.

Balai Bomba Penyelamat Sandakan menerima panggilan kecemasan pada 4.52 pagi sebelum anggota bertugas bergegas ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan mendapati paras air adalah terkawal, dan tiada operasi pemindahan dijalankan.

Pasukan bomba menasihati penduduk sekitar supaya berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525620