DUNIA

Indonesia, AS Muktamad Perjanjian Tarif Utama, Kekal Kadar Timbal Balas 19 Peratus

20/02/2026 03:30 PM

JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) telah memuktamadkan perjanjian perdagangan penting yang menyaksikan Washington mengekalkan kadar tarif timbal balas sebanyak 19 peratus ke atas import Indonesia.

Menurut Rumah Putih, produk tertentu yang dikenal pasti dari Indonesia akan menikmati kadar tarif timbal balas sifar peratus, termasuk barangan tekstil dan pakaian terpilih bagi jumlah import yang akan ditentukan kemudian.

“Jumlah ini akan ditentukan berdasarkan kuantiti eksport tekstil yang dihasilkan daripada kapas Amerika dan input tekstil gentian buatan manusia dari AS,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasminya pada Jumaat.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden AS Donald Trump menandatangani dokumen pada Jumaat bagi mengesahkan komitmen kukuh kedua-dua negara untuk melaksanakan perjanjian itu.

Di bawah perjanjian berkenaan, Rumah Putih berkata Indonesia bersetuju menghapuskan halangan tarif ke atas lebih 99 peratus eksport AS merangkumi semua sektor, termasuk produk pertanian dan kesihatan, makanan laut, barangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), produk automotif serta bahan kimia.

Rumah Putih memaklumkan bahawa Indonesia juga akan menangani dan mencegah halangan terhadap produk pertanian AS dengan mengecualikan barangan makanan dan pertanian daripada semua rejim pelesenan import selain memastikan ketelusan dan keadilan dalam petunjuk geografi termasuk bagi daging dan keju.

Kedua-dua negara turut akan bekerjasama bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, menangani pengelakan duti serta memastikan kawalan eksport dan keselamatan pelaburan yang mencukupi.

Indonesia juga bersetuju menghapuskan sekatan ke atas eksport ke AS bagi semua komoditi perindustrian termasuk mineral kritikal.

Selain itu, Indonesia akan menangani pelbagai halangan bukan tarif dengan mengecualikan syarikat dan barangan AS daripada keperluan kandungan tempatan, mengiktiraf piawaian keselamatan kenderaan bermotor dan pelepasan persekutuan AS, serta menerima piawaian Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS bagi peranti perubatan dan farmaseutikal.

Indonesia turut akan memansuhkan keperluan pensijilan dan pelabelan yang membebankan, menghapuskan keperluan prapenghantaran serta mengambil langkah menyelesaikan isu harta intelek yang berlarutan.

“AS mungkin mempertimbangkan secara positif kesan perjanjian ini terhadap keselamatan negara termasuk mengambil kira perjanjian ini apabila melaksanakan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962, seperti dipinda (19 U.S.C. 1862),” menurut Rumah Putih.

Rumah Putih menyatakan bahawa kedua-dua negara turut mengalu-alukan perjanjian komersial bernilai kira-kira US$33 bilion dalam sektor pertanian, aeroangkasa dan tenaga di AS yang dijangka meningkatkan lagi eksport AS ke Indonesia.

Komitmen itu termasuk pembelian komoditi tenaga AS bernilai kira-kira US$15 bilion, perolehan pesawat komersial serta barangan dan perkhidmatan berkaitan penerbangan bernilai kira-kira US$13.5 bilion termasuk daripada Boeing, serta lebih US$4.5 bilion produk pertanian AS.

AS kini mencatat defisit perdagangan barangan ke-15 terbesar dengan Indonesia berjumlah US$23.7 bilion pada 2025.

Sebelum perjanjian itu, purata mudah tarif yang dikenakan oleh Indonesia ialah lapan peratus berbanding 3.3 peratus di AS.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525760